Lexus LBX berlabuh ke pasaran tempatan, harga mula RM238k

173

Lexus Malaysia memperkenalkan LBX menggantikan model UX yang ditamatkan jualannya. SUV segmen B hibrid itu dijual pada harga :

  • RM238,888 bagi varian Premium
  • RM268,888 bagi varian Luxury

*Semua LBX didatangkan dengan waranti lima tahun, perbatuan tanpa had dan waranti bateri lapan tahun, tanpa had perbatuan, dengan tambahan dua tahun perlindungan.



Model import (CBU) dari kemudahan Toyota Iwate, Jepun itu memiliki saiz lebih kecil berbanding BMW X1 dan Mercedes-Benz GLA.

Dimensi panjang LBX adalah 4,190mm, lebar (1,825 mm) dan tinggi (1,560 mm) serta jarak roda 2,580 mm.

Model pertama Lexus yang menggunakan platform global kereta kompak GA-B itu dilengkapi dengan enjin M15A-FXE 1.5 liter NA 3-silinder kitaran Atkinson yang menghasilkan kuasa 91PS @ 5,500rpm dan tork 120Nm @ 3,800 – 4,800 rpm.

Kemudian LBX dipadankan dengan motor elektrik (94PS/185Nm) bersama transmisi eCVT. SUV pacuan roda depan itu menggunakan bateri nikel logam hidrida berkuasa 136PS. 

PENGENDALIAN LINCAH

LBX mempunyai kestabilan yang lebih baik dan ciri pengendalian yang lincah hasil jarak roda yang panjang, overhang pendek dan trek lebih lebar serta pusat graviti yang rendah.

Casis menggunakan banyak pelekat struktur dan menampilkan titik kimpalan jarak pendek untuk meningkatkan ketegaran kilasan serta pemasangan komponen ringan termasuk bonet aluminium dan resin acuan alat ganti. 

Selain itu, Lexus LBX masih lagi menggunakan suspensi belakang torsion beam yang mana posisi dalam casis menawarkan keseimbangan yang baik antara keselesaan pemanduan dan kestabilan pengendalian.

LBX juga menggunakan Kawalan Postur Brek Kenderaan untuk mengimbangi daya brek depan dan belakang secara automatik sekaligus meminimumkan olengan badan.

BAHASA REKAAN LEXUS NEXT CHAPTER

Penampilan LBX masih lagi mempertahankan bahasa rekaan Lexus Next Chapter yang turut boleh ditemui pada model baharu NX, RZ dan RX. Rekaan signatur gril spindle direka semula menjadi “spindle body”, mengekalkan bukaan trapezoid yang lebih kecil.

Bar perak di bahagian atas disatukan dengan lampu depan LED yang lebih tirus bersama lampu nyala siang (DRL).

Perumah cermin sisi berwarna perak yang ditarik sehingga ke spoiler belakang memberikan imej bumbung terapung dan rendah di belakang.

Lampu belakang lebar dipadankan dengan lencana LEXUS yang besar di tengah pintu but manakala posisi nombor plat dialihkan ke bampar.

LBX Premium menggunakan rim aloi jejari ‘V’ kelabu bersaiz 17-inci manakala varian Premium dilengkapi dengan rim 18-inci dua tona warna jejari Y.

Kabin minimalis LBX yang didominasi oleh konsol tengah acah ‘air terjun’ menempatkan skrin sentuh besar bersaiz 9.8-inci yang menggunakan antara muka Tazuna terkini. Ia didatangkan dengan ketersambungan Apple CarPlay (tanpa wayar) dan Android Auto menggunakan kabel sambungan.

Di depan pemandu terdapat paparan instrumen digital berukuran 7-inci pada varian Premium dan 12.3 inci (Luxury). Turut tersedia empat port pengecasan USB-C yang menyalurkan kuasa sehingga 15 watt dan pengecas tanpa wayar Qi.

Enam pembesar suara datang sebagai standard yang mana versi Luxury memperoleh sistem Bunyi Surround Premium Mark Levinson 13 pembesar suara.

But bersaiz 315 liter boleh ditingkatkan kepada 992 liter dengan lipatan kerusi 60:40.

CIRI KESELAMATAN

Ciri keselamatan standard yang ditawarkan adalah masuk tanpa kunci, punat push start,  cermin pandang belakang automatik malap, navigasi, pintu but berkuasa elektrik dan kamera undur.

LBX Luxury pula didatangkan dengan sistem kamera 360 darjah dengan fungsi transparensi, cermin pandang belakang digital dan bantuan Lexus Teammate Advanced Park.

LBX juga dilengkapi dengan lapan beg udara (termasuk beg udara tengah) dan bantuan pemanduan sebagai sebahagian daripada Lexus Safety System+.

Ia termasuk brek kecemasan autonomi, kawalan pelayaran adaptif dengan henti dan gerak, lane centering assist, bantuan selekoh aktif, pengecaman papan tanda, pemantauan titik buta, amaran buka pintu dan lampu tinggi automatik.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here