Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé pasang di Malaysia bakal eksport ke Thailand

129

Sime Darby Berhad dan Porsche mengumumkan peluasan kemudahan pemasangan Porsche di Inokom untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua syarikat. 

Kilang pemasangan tempatan yang terletak di Kulim, Kedah, diperbesar dan kini seluas 11,000 meter persegi untuk memenuhi peningkatan kapasiti serta menempatkan barisan pengeluaran baharu bagi model keduanya, iaitu Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé. 

Model versi baharu itu adalah kenderaan Porsche pertama yang dipasang di dalam negara untuk dieksport ke pasaran Thailand. 



Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, usaha itu adalah satu mercu jaya penting bagi Sime Darby bersama Porsche untuk memanfaatkan peluang baharu di rantau ASEAN.

“Kami tetap teguh untuk memenuhi komitmen dengan menawarkan produk konsisten yang memenuhi permintaan daripada pelanggan Porsche, yang memperluas pasaran domestik ke negara jiran kita, Thailand,” katanya.

Porsche Cayenne S E-Hybrid yang dipasang di Malaysia akan dieksport ke Thailand, satu daripada pasaran terbesar Porsche di rantau ASEAN bagi memenuhi permintaan semakin meningkat di sana.

Kilang pengeluaran tempatan bagi Porsche itu adalah yang pertama di luar Eropah yang dibuka pada 2022. Sehingga kini, kemudahan itu menghasilkan dua generasi dan lebih daripada 2,000 unit kereta sport Porsche dengan lima tempat duduk yang ikonik.

Ahli Lembaga Eksekutif Pengeluaran Porsche AG Albrecht Reimold berkata, Porsche mencipta sejarah apabila membuka kemudahan pemasangan tempatan di Malaysia pada 2022. 

“Sejak itu, kami mencapai pelbagai mercu jaya penting, termasuk memasang lebih daripada 2,000 Cayenne di dalam negara dalam tempoh hanya dua tahun selepas kemudahan dibuka dan mendapat tempat di hati keluarga di Malaysia. 

“Kini, kami bersiap sedia untuk memenuhi permintaan masa depan dengan menaik taraf dan meluaskan kemudahan di Kulim bagi memastikan bahawa model Cayenne sulung yang bakal dieksport ke pasaran serantau untuk memenuhi permintaan dan jangkaan pelanggan,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here