Honda mahu jadikan Motocompo sebagai unit penambah jarak EV

126

Skuter dua lejang boleh lipat Motocompo merupakan salah satu konsep unik yang dibawakan Honda pada era 80-an untuk menyelesaikan masalah mobiliti perbatuan akhir.

Idea yang sama kemudiannya diperbaharui menerusi pengenalan model Motocompacto berkuasa elektrik pada penghujung 2023, saiz yang lebih kompak namun kurang berkuasa berbanding model asal.



Namun begitu, berdasarkan imej paten yang diperoleh daripada Cycle World, Honda mahu melahirkan semula idea asal Motocompo yang mempunyai dua fungsi iaitu menawarkan mobiliti perbatuan akhir dan boleh bertindak sebagai unit penambah jarak kenderaan elektrik (EV).

Unit penambah jarak (range extender) bukanlah satu konsep yang asing, ia menggunakan enjin pembakaran dalaman dan tangki bahan api berkapasiti kecil untuk mengecas EV tanpa perlu bergantung kepada pek bateri berkapasiti besar.

BMW i3 Range Extender merupakan contoh terbaik yang mana BMW meminjam enjin skuter C 650 GT untuk digunakan sebagai unit penambah jarak pada model hatchback elektrik tersebut.

Idea Honda pula adalah dengan menggandingkan enjin dan tangki bahan api ke dalam satu struktur motosikal (Motocompo) yang boleh ditunggang keluar dan boleh dilipat semula masuk ke dalam ruang kargo.

Memandangkan unit Motocompo yang asal tidak direka untuk beroperasi semasa disimpan dalam ruang barangan, jadi Honda telah menambah dua penyelesaian bagi mengelakkan ruangan sempit dalam kabin. 

Salah satu daripadanya ialah sistem penyejukan untuk motosikal serta sistem ventilasi tersendiri untuk menyalurkan gas ekzos Motocompo keluar dari kereta.

Apa pendapat anda? Adakah ini satu idea yang cukup bernas untuk digunakan dalam era kenderaan elektrik?.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here