Para peminat kei car di Jepun kini boleh mendapatkan model crossover generasi baharu Suzuki Spacia Gear selang beberapa bulan selepas model standard Spacia dilancarkan.
Kei car yang direka untuk aktiviti lasak ini masih lagi mengekalkan dimensi yang hampir sama serta penggayaan acah crossover yang sama seperti model terdahulu.
Jika dibandingkan dengan model Spacia dan Spacia Custom, Spacia Gear nampak lebih unik dengan kehadiran lampu LED berbentuk bulat serta struktur gril yang mirip model Jeep.
Selain itu, Spacia Gear turut mendapat bampar yang direka semula, plastik pelindung pada bahagian sisi, set rim aloi bersaiz 15 inci serta rel bumbung.
Untuk ruang dalaman, Spacia Gear dilengkapi dengan balutan fabrik kalis air, tema warna alam semula jadi, brek parkir elektronik serta roda stereng dengan fungsi pemanas terbina.
Pelbagai aksesori boleh dimuatkan pada Spacia Gear, termasuklah rak bumbung, bumbung awning boleh lipat, bekas khas untuk haiwan peliharaan, jaring penghalang nyamuk dan kusyen yang boleh dijadikan sebagai katil untuk berkhemah.
Spesifikasi teknikal Spacia Gear masih lagi tidak didedahkan, namun model Spacia yang dilancarkan sebelum ini ditawarkan dengan enjin tiga silinder sebaris hibrid ringan 660cc berkuasa 48hp atau 80hp yang dipadankan dengan transmisi CVT, serta pilihan pacuan 2WD atau 4WD.
Harga jualan juga masih lagi dirahsiakan, namun apa yang pasti Suzuki Spacia Gear mampu menjadi alternatif kepada mereka yang sedang berkira-kira untuk mendapatkan model pesaing seperti Mitsubishi Delica Mini atau Daihatsu Tanto Fun Cross.