Pempengaruh motosikal dari Rusia, Tatyana Ozolina atau lebih dikenali sebagai MotoTanya meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Turkiye.
Ozolina, yang pernah digelar sebagai ‘penunggang motosikal tercantik Rusia’, dilaporkan hilang kawalan dan merempuh sebuah trak ketika menunggang BMW S1000RR berdekatan Milas, wilayah Mugla.
Laporan media tempatan mengatakan mangsa yang berusia 38 tahun itu meninggal dunia sebelum pasukan perubatan tiba di tempat kejadian.
Penunggang motosikal dari Turkiye, Onur Obut yang bersamanya ketika kejadian dilaporkan cedera, manakala seorang lagi penunggang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Walaupun punca kejadian masih lagi dalam siasatan, terdapat laporan yang mengatakan Ozolina hilang kawalan selepas motosikalnya dilanggar oleh penunggang motosikal lain ketika memotong.
View this post on Instagram
Ozolina mempunyai kira-kira lima juta pengikut di TikTok, dua juta pengikut di YouTube dan sejuta di Instagram. Dia juga mempunyai seorang anak berusia 13 tahun.
Sebelum kejadian itu, dia tidak dibenarkan masuk ke dalam Kesatuan Eropah di sempadan Greece berikutan sekatan yang dikenakan ke atas rakyat Rusia kerana perang berterusan di Ukraine.
Dalam satu kiriman di media sosial, Ozolina menulis: “4000km dari rumah. Greece merindui saya tetapi tidak merindui motosikal saya. Ya. Saya berada di Greece dengan berjalan kaki. Saya membeli magnet dan kembali ke Turki.
“Saya kecewa kerana saya tidak berjaya mengelilingi Eropah, tetapi tidak banyak, kerana saya tahu ini boleh berlaku.
“Oleh itu, saya teruskan. Untuk menakluk Turki yang cantik, hangat dan mesra.”