Stellantis akan buang jenama yang tidak bawa keuntungan

276

Dalam satu laporan kewangan terkini, Stellantis berkata keuntungannya merudum sebanyak 48 peratus kepada USD6.07 bilion bagi separuh pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada 2023.

Berikutan prestasi mengecewakan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Stellantis, Carlos Tavares berkata kumpulan itu mungkin akan menggugurkan jenama yang tidak mencatat keuntungan.

Jika mereka (jenama) tidak membuat keuntungan, kami akan tutup. Kami tidak mampu untuk mempunyai jenama yang tidak membuat wang,” katanya kepada Reuters.



Ditubuhkan pada 2021 menerusi gabungan Kumpulan PSA dan Fiat Chrysler Automobile, Stellantis memiliki 14 jenama automotif iaitu Citroen, Fiat, Opel, Vauxhall, Peugeot, Abarth, Ram, Dodge, Chrysler, Jeep, Lancia, DS Automobiles, Alfa Romeo, dan Maserati.

Tavares tidak menyebut jenama yang akan digugurkan namun sesetengah penganalisis berkata Maserati mungkin digugurkan oleh kumpulan itu selepas mencatatkan kerugian operasi sebanyak EUR 82 juta pada separuh pertama tahun ini.

Selain itu, jenama seperti Lancia dan DS juga berisiko digugurkan akibat sumbangan yang terlalu kecil kepada angka jualan keseluruhan kumpulan.

Jenama-jenama lain seperti Fiat, Opel, Vauxhall, Peugeot, Citroen, Jeep dan Ram pula dikatakan terlalu besar untuk digugurkan. Bagaimanapun, semua ini hanya spekulasi setakat ini.

Stellantis merupakan pengeluar kenderaan keempat terbesar di dunia tetapi menguruskan begitu banyak jenama terbukti sukar dalam industri yang semakin kompetitif.

Tahun ini, saham kumpulan itu menjunam sebanyak 22 peratus selepas keputusan kewangan yang lebih lemah daripada jangkaan pada separuh pertama 2024.

Pendapatan larasan operasi pula menurun sebanyak 40 peratus disebabkan oleh pasaran Amerika Utara. Pendapatan bersih merudum 14 peratus manakala keuntungan bersih menurun sebanyak 48 peratus.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here