Diperkenalkan buat pertama kali pada 2021, Kia K8 merupakan model inovatif yang menggariskan hala tuju pengeluar kenderaan dari Korea itu.
Kini, selepas tiga tahun dilancarkan dan lebih 130,000 unit terjual dalam pasaran domestik, sedan eksekutif itu bakal menerima kemaskini yang pertama.
Walaupun sedikit gelap, imej teaser rasmi menunjukkan K8 versi facelift mempunyai wajah seakan EV9 dengan lampu utama berbentuk kiub, lampu nyala siang (DRL) menegak dan bar LED melintang sebagai gril.
Bukan itu sahaja, bonet turut direka semula manakala bahagian bampar dilihat mempunyai liang udara yang lebih besar untuk penyejukan enjin yang lebih efektif.
Profil sisi K8 dilihat tidak menampilkan sebarang perubahan, namun bahagian belakang kini lebih kemas dan moden dengan bar LED yang merentangi pintu but sepenuhnya.
Gambar ruang dalaman tidak disiarkan setakat ini, namun ia dijangka menampilkan perubahan yang minimum. Ciri-ciri sedia ada termasuk skrin berkembar berukuran 12.3 inci, paparan head-up 12 inci dan sistem ADAS akan dikekalkan.
Untuk enjin pula, K8 berkemungkinan besar akan menawarkan pilihan sedia ada yang terdiri daripada enjin petrol 2.5 dan 3.5 liter, hibrid dan LPG.
Menurut Kia, spesifikasi lengkap K8 serta harga untuk pasaran Korea akan diumumkan secara rasmi pada Ogos ini.