Suzuki Jimny 5-pintu lancar di Malaysia, harga mula RM199,380

165

Naza Eastern Motors memperkenalkan Suzuki Jimny 5-pintu ke pasaran tempatan pada harga RM199,380 seunit.

Suzuki Jimny didatangkan dengan lima pilihan warna badan. Bagi pengguna yang memilih warna metalik perlu menambah kos sebanyak RM1,500 (RM201,450) dan tambahan RM2,500 bagi dua tona warna yang menjadikan harga Jimny RM202,450.



Bagi menempatkan pintu tambahan berkenaan, Suzuki menambah panjang Jimny sebanyak 342mm menjadi 3,822mm manakala jarak rodanya pula 2,590mm.

Selain itu, ia memberi kelebihan kepada ruang kaki belakang lebih selesa dan saiz kargo lebih besar iaitu 211 liter dan menjadi 332 liter sekiranya kerusi belakang dilipat.

MEKANIKAL KEKAL GUNA ENJIN 1.5L 

Bahagian mekanikal masih kekal tidak berubah yang mana menggunakan enjin 1.5 liter NA 4-silinder yang menghasilkan kuasa 100hp @ 6,000rpm dan tork 130Nm @ 4,000rpm bersama transmisi 4-kelajuan automatik.

Ia kemudian dipadankan dengan sistem pacuan AllGrip Suzuki yang merupakan 4WD separuh-masa dengan transfer case untuk julat rendah.

SUV kompak itu mampu mencapai kelajuan 100kmj daripada pegun pada tempoh 17.2 saat dengan kelajuan maksimum 140kmj.

Perubahan pada bahagian luar dan dalam adalah minimum. Model CBU dari India itu didatangkan dengan gril lima jeriji berwarna krom gelap yang kemudian diapit dengan rekaan lampu depan bulat.

CIRI PERALATAN MINIMUM

Masuk ke kabin, konfigurasi empat tempat duduk masih dikekalkan dan dilengkapi dengan skrin sentuh hiburan 9-inci dengan ketersambungan Android Auto dan Apple Carplay serta paparan head up yang kini dua inci lebih besar. 

Selain itu, tawaran ciri peralatan lain agak ‘kurang’ daripada anda jangkakan bagi sebuah SUV pengenalan asas.

Ia didatangkan dengan lampu depan projektor LED dengan ciri pembersih (pelarasan manual), rim aloi kelabu gelap 15 inci, cermin sisis boleh laras elektrik dan boleh lipat, penyaman udara automatik, kamera undur, kawalan kruise, butang kawalan pada stereng kulit dan tempat duduk dengan kemasan fabrik.

Demi ketenangan minda pemilik, Suzuki Jimny didatangkan dengan enam beg udara, ABS, ESC, Kawalan Tahan Bukit, Kawalan Turun Bukit, fungsi bantuan brek, sensor parkir belakang dan Isofix.

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here