Berita baik buat para peminat Honda di Jepun, syarikat berkenaan baru sahaja mendedahkan versi naiktaraf Civic RS (2025).
Secara visualnya, Civic RS facelift tidak banyak berubah berbanding model konsep yang dipertontonkan pada Tokyo Auto Salon (2024).
Namun tidak seperti Honda Civic Si yang datang eksklusif dalam bentuk badan sedan, Civic RS JDM hanya ditawarkan dalam versi hatchback lima-pintu.
Selain rekaan semula bampar, Civic RS turut menampilkan lencana RS, kemasan hitam, rim bersaiz 18 inci juga berwarna hitam dan kehadiran tip ekzos rekaan trapezoid.
Untuk ruang kabin pula, Honda menambah aksen warna merah pada papan pemuka dan panel pintu, diikuti tombol gear aluminium yang dibaluti kulit.
Enjin 1.5 liter turbo yang dipadankan pada Civic RS ini menghasilkan kuasa 180hp dan dipadankan dengan transmisi manual.Â
Tidak cukup dengan itu, Honda turut menambah fungsi rev-match, flywheel lebih ringan, brek depan lebih besar, bar kilasan stereng yang lebih tegar, jarak lega bumi lebih rendah 5mm disumbangkan talaan semula suspensi dan penggunaan peredam serta bushing baharu.
Seperti biasa, tidak sah duduk di Jepun tanpa membelek-belek pelbagai jenis aksesori original yang dihasilkan oleh Honda Access untuk model ini.
Sorotan utama sudah tentu komponen sayap belakang besar yang mengingatkan kita pada Civic Type R, namun pemilik boleh memilih spoiler ekor itik untuk tidak tampil menyerlah.Â
Antara opsyen lain termasuklah penambahan pada bampar, kemasan sporti pada gril dan liang kemasukan bawah bampar.
Honda Civic RS (2025) akan dilancarkan secara rasmi di pasaran Jepun pada September ini.