Toyota GR Corolla (2025) dapat kotak gear DAT 8-kelajuan, 300 hp, 400 Nm

130

Lapan bulan selepas pengenalan model GR Yaris facelift, Toyota baru-baru ini membawakan kemaskini yang serupa untuk model GR Corolla yang jauh lebih praktikal.

Ini bermakna, GR Corolla model tahun 2025 kini boleh didapati dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik DAT (Direct Automatic Transmission) lapan nisbah kelajuan sebagai opsyen yang lengkap dengan launch control, paddle shifter dan sistem penyejuk transmisi secara standard.

Kotak gear GR Corolla 2025 turut dilengkapi dengan perisian unik, di mana ia mampu menjangkakan masa optimum untuk membuat penukaran gear berdasarkan input pedal dan brek.



Sama seperti GR Yaris, enjin G16E-GTS telah diurut kembali supaya mampu menghasilkan kuasa 300 hp dan daya kilas 400 Nm, berbanding 370 Nm pada model terdahulu.

Kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan semua roda GR-Four yang dibantu dengan komponen LSD Torsen depan dan belakang, di mana ia kini standard untuk semua varian GR Corolla 2025.

Dari sudut luaran, GR Corolla 2025 telah mendapat bampar hadapan baharu yang menampilkan liang penyejukan brek dan tirai udara yang dapat meningkatkan aspek kestabilan.

Sistem gantungan juga turut diberikan penekanan, di mana Toyota telah menambah spring lantunan baharu depan dan belakang untuk menambah baik aspek cengkaman di selekoh. 

Titik pelekap lengan belakang telah dinaikkan ketinggiannya untuk mengurangkan kesan jongket sewaktu pecutan.

Sementara spring belakang serta bar anti-oleng telah ditala kembali untuk meningkatkan titik sentuhan tanah dan kawalan sewaktu di selekoh.

Kesemua GR Corolla 2025 didatangkan standard dengan ciri seperti rim aloi 18 inci, tayar Michelin Pilot Sport 4, kelengkapan keselamatan Toyota Safety Sense 3.0, serta keahlian National Auto Sport Association setahun secara percuma.

Varian Premium Plus pula mendapat ekstra seperti bumbung gentian karbon, paparan head-up serta tambahan sub-radiator yang ditawarkan secara opsyen untuk model varian bawahan.

Harga jualan hanya akan diumumkan kelak.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here