Nissan Caravan MyRoom, boleh jadi pejabat dan rumah bergerak!

128

Pencabar kepada Toyota Hiace, Nissan Caravan (generasi keenam) masih lagi bertahan di pasaran selama 15 tahun disebabkan oleh praktikaliti dan ketahanan yang ditawarkan pada model tersebut.

Jika anda mahukan pakej yang lebih berbeza, boleh dapatkan spesifikasi campervan standard dari kilang yang dinamakan sebagai Caravan MyRoom.



Ia telah pun dilancarkan secara rasmi pada Oktober 2023 dalam edisi terhad “Launch Edition”, di mana versi standard kini sudah tersedia untuk para peminat aktiviti perkhemahan.

Nissan Caravan MyRoom dibina berdasarkan Caravan versi panjang (5,080 mm) dengan bumbung standard, serta spesifikasi yang menyamai varian LCV seperti bampar tidak bercat, roda keluli hitam, diikuti dengan jeriji, cermin sisi dan pemegang pintu berwarna hitam.


Ruang kabin pula menampilkan sistem perabot modular yang diperbuat daripada kayu, di mana pemilik boleh mencipta sendiri ruang bekerja, tempat tidur atau ruang makan pada bahagian belakang.

Nissan turut menawarkan dua opsyen untuk ruang tidur, iaitu katil boleh lipat dua bahagian atau katil boleh alih yang lebih ringkas dibaluti fabrik herringbone.

Nissan Caravan MyRoom dikuasakan oleh enjin petrol QR20DE 2.0 liter menghasilkan 129 hp/178 Nm, atau pilihan enjin diesel Mitsubishi 4N16 2.5 liter berkuasa 130 hp/370 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik tujuh kelajuan yang memacu roda belakang.

Versi diesel boleh dilengkapi dengan opsyen sistem pacuan semua roda.

Menariknya, Nissan telah melengkapkan Caravan MyRoom dengan pek bateri mudah alih yang dikitar semula daripada EV Nissan LEAF, memberikan kuasa yang mencukupi untuk mengecas perkakasan elektronik menerusi outlet AC 100 v semasa berada di luar grid.

Bergantung kepada spesifikasi, Nissan Caravan MyRoom dijual pada harga bermula ¥5,516,500 (RM165,420) dan eksklusif untuk pasaran Jepun sahaja.

GALERI

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here