Bosan dengan kehadiran hypercar elektrik di luar sana?.
Usah risau kerana terdapat satu jenama pengeluar yang baharu sahaja menyertai pasaran, iaitu Nilu27 yang diasaskan oleh bekas pereka Koenigsegg dan Bugatti, Sasha Selipanov.
Model yang anda lihat ini ialah NILU, sebuah hypercar dengan teknologi enjin pembakaran dalaman yang mampu memuaskan hati golongan purist.
NILU dikuasakan enjin bentangan V12 bersudut 80 darjah 6.5 liter yang direka oleh Harley Engines, dan mempunyai karakteristik melahu seakan motor elektrik.
Ia juga menampilkan ciri yang agak unik dan berbeza dengan kebanyakan enjin lain, di mana badan pendikit individu diposisikan di bahagian luar, sementara ekzos pula keluar dari bahagian atas dalam konfigurasi ‘hot V’.
Selain itu, NILU turut dilengkapi sistem ekzos Inconel 12-to-1 yang mana bentuk kompleks itu berjaya dicapai menggunakan mesin pencetak 3D.
Angka kuasa kuda tidak didedahkan buat masa ini, namun Nilu27 mendakwa enjin V12 itu berupaya menghasilkan kuasa melebihi 1,000 hp.
Nadi tersebut dipadankan dengan kotak gear manual tujuh nisbah kelajuan yang dibekalkan oleh CIMA, dan mempunyai mekanisme kekunci bagi memastikan pemandu tidak tersalah masuk gear undur semasa membuat penukaran gear.
Masuk dalam ruang kabin, anda akan menikmati pengalaman analog yang mana susun atur papan pemuka yang agak ringkas tanpa kehadiran skrin atau butang fungsi yang merimaskan.
Tempat duduk tiada tetapan pelarasan, sementara perkakasan lain seperti pedal kaki, perehat kepala dan cermin sisi boleh dilaras secara manual.
Disebalik rupa paras yang menawan lengkap dengan pintu gullwing itu, NILU menggunakan casis monocoque gentian karbon bespoke yang ditambah dengan set sub-rangka tubular aloi aluminium.
Memastikan kereta ini melekat dengan baik atas jalan ialah sistem gantungan pushrod double-wishbone, diikuti set rim 20 dan 21 inci yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport Cup 2R.
Sistem brek seramik karbon pula disumberkan daripada Brembo.
Nilu27 hanya akan membina 15 unit NILU edisi pelancaran yang mungkin tidak halal digunakan atas jalan raya.
Syarikat itu juga merancang untuk menghasilkan 54 unit jentera homologasi jalanan sebagai pelengkap kepada model edisi pelancaran yang disebutkan tadi.