Proton bakal kembali semula ke pasaran United Kingdom (UK) yang mana pengembangan itu merangkumi pasaran pemanduan kanan di Asia dan Afrika Selatan serta Australia dan New Zealand, kata sumber rapat dengan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Li Chunrong.
Pelan itu menyasarkan peningkatan jualan global Proton secara signifikan diikuti dengan ibu pejabat dan pembinaan kemudahan tambahan di Tanjong Malim, Perak.
Dikenali sebagai Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), kilang tersebut sebahagian daripada pelaburan bilion pound sterling usahasama Geely dan DRB-HICOM Berhad.
Tambahan kapasiti pengeluaran yang disediakan berperanan penting dalam rancangan lama Proton bagi mengembangkan jualan globalnya, kata sumber kepada Autocar.
“Dengan adanya pelaburan, Proton memiliki keupayaan untuk kembali ke pasaran yang telah ditinggalkannya pada masa sama turut memasuki pasaran baharu,” kata sumber.
Bagaimanapun, tidak ada pendedahan tempoh masa rasmi untuk kembali ke pasaran UK. Walaupun Autocar dimaklumkan pasaran eksport utama akan dicapai akhir dekad ini. Proton menjual model di UK dari 1989 hingga 2014.
Pada suku kedua tahun lalu Geely mengumumkan pelaburan RM30 bilion bagi pembangunan dan pengkomersilan AHTV yang mana akan membuka lembaran baharu ekosistem penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.
Kemudian penghujung tahun lalu, syarikat itu meneruskan komitmen pelaburan mega di Malaysia apabila memutuskan untuk melabur RM10 bilion bagi memperbesarkan AHTV di Proton City, Tanjung Malim.