Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menyatakan motosikal lebih daripada 150cc perlu dilengkapi dengan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) bermula 1 Januari 2025.
Keperluan mandatori itu hasil kajian dua tahun oleh Kementerian Pengangkutan untuk menangani peningkatan jumlah kematian melibatkan motosikal.
“Sistem ABS boleh membantu mengurangkan kemalangan dan kematian melibatkan penunggang motosikal sebanyak 30 peratus.
“Ia menghindari daripada tergelincir jadi penunggang tidak hilang kawalan,” kata Pengerusi Miros, Dr Wong Shaw Voon.
Ketika disoal tentang pemasangan ABS pada model yang dibeli sebelum 1 Januari, Shaw Voon mendakwa bergantung kepada jenis motosikal.
“Tidak semua motosikal lama boleh dipasang dengan ABS. Ia bergantung sama ada rekaan motosikal itu boleh dilengkapi dengan ABS sebagai pilihan,” jelasnya.
Wong memberi amaran kepada pemilik motosikal lama supaya tidak memasang ABS jika ia tidak dapat dilaksanakan.
Sistem brek ABS menghalang tayar daripada terkunci apabila brek digunakan sepenuhnya. Ia menggunakan sensor untuk menentukan kelajuan kedua-dua tayar dengan tepat serta menghalang daripada terkunci 10 kali setiap saat.
Ini meningkatkan kestabilan motosikal sambil membolehkan penunggang mengawal jentera dengan lebih baik serta menghindari daripada tergelincir.
Pada masa ini, ABS kebanyakannya ditemui pada motosikal berkuasa tinggi antara 400cc dan ke atas walaupun sesetengah motosikal antara 160cc dan 200cc turut dilengkapi dengan sistem tersebut.
Berdasarkan angka Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dianggarkan satu kematian berlaku setiap dua jam akibat kemalangan motosikal di Malaysia.
Pada 2022, 6,080 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di seluruh negara. Tahun lalu, ia meningkat kepada 6,443 orang. Daripada jumlah itu, kira-kira 4,000 membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal berumur antara 16 hingga 35 tahun.