JAECOO Malaysia menyerahkan secara rasmi 500 unit J7 yang pertama kepada wakil pengedarnya di negara ini.
Jenama itu bekerja keras sepanjang tempoh tujuh bulan lepas untuk memantapkan ekosistem dan rangkaian dan akhirnya menjayakan pelancaran rasmi SUV J7 pada pertengahan Julai.
Tiga minggu selepas pelancaran, jenama berkenaan memenuhi janjinya untuk menyerahkan kelompok pertama J7 pada suku ketiga tahun ini, iaitu dalam tempoh masa yang dijadualkan.
Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen (kiri gambar di atas) berkata, tahun ini adalah yang hebat buat JAECOO, bermula dengan tempoh previu yang menarik perhatian ramai dan seterusnya membawa kepada sambutan luar biasa pada pelancaran J7.
“Kami amat teruja untuk menyerahkan 500 unit pertama J7 dan sudah tentu seronok untuk memberi peluang kepada pelanggan memandu SUV kegunaan lasak premium itu di Malaysia,” katanya.
500 unit SUV J7 yang diserah kepada wakil pengedar merupakan varian pacuan semua roda (AWD). Manakala, kelompok seterusnya yang akan diserahkan pada September nanti terdiri daripada varian pacuan dua roda (2WD).
Pasaran automotif sememangnya jatuh hati dengan harga kompetitif model J7 AWD yang ditetapkan pada MYR148,800, dan varian 2WD pada harga MYR138,800. Strategi harga JAECOO telah meletakkan SUV J7 sebagai pencabar utama dalam kategori SUV segmen C, iaitu sebagai sebuah jenama mewah yang mampu dimiliki.
Kedua-dua varian ditawarkan waranti tujuh tahun atau jarak perjalanan sehingga 150,000km.
Pelanggan JAECOO disokong oleh rangkaian pengedar yang meliputi 35 lokasi di seluruh negara, sebuah kilang pengeluaran terkhusus dan gudang alat ganti tulen JAECOO, untuk memastikan sokongan lepas jualan yang pantas dan lancar.