Sebanyak 41 juta saman trafik yang dianggarkan bernilai RM4 bilion sejak 1990 hingga Jun 2024 masih belum dibayar.
Daripada jumlah itu, kira-kira 51,128 saman bernilai kira-kira RM5.1 juta melibatkan warga asing dari negara jiran termasuk Singapura, Brunei dan Thailand. Warganegara Singapura mendahului senarai dengan 35,011 saman bernilai kira-kira RM3.5 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya akan mengeluarkan pemberitahuan kepada pesalah trafik untuk memaklumkan saman yang tertunggak.
Pemandu yang gagal menjelaskan bayaran boleh disenaraihitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Enam kesalahan besar yang boleh disenaraihitam seperti melanggar lampu merah, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan peranti komunikasi semasa memandu, memotong barisan dan memandu lebih had laju.
“Sejak 1990 hingga Jun tahun ini, sejumlah 40,962,240 saman dengan nilai kira-kira RM4 bilion masih belum diselesaikan,” kata beliau.
TIDAK PERLU KE BALAI POLIS, GUNA MYBAYAR
Justeru itu, Mohd Yusri meminta individu terlibat melunaskan bayaran saman dengan segera bagi menghindari tindakan undang-undang dan disenaraihitam.
“Pembayaran boleh dilakukan secara online melalui MyBayar, jadi tidak perlu datang ke balai polis.
“Bagi pesalah trafik warga asing, polis akan meningkatkan usaha menjejaki saman masih belum dibayar apabila masuk atau keluar dari negara,” katanya.
Diskaun untuk saman tertunggak ditawarkan secara terpilih dan berdasarkan permintaan agensi, menurut Mohd Yusri.
Bagaimanapun, diskaun 50 peratus tersedia secara automatik dalam masa sebulan, seperti yang tercatat pada notis denda.
Mohd Yusri berkata promosi tahunan diadakan bagi menggalakkan pembayaran.
“Kami telah melihat pemulihan yang ketara. Kutipan terkini dianggarkan mencecah ratusan juta ringgit,” katanya.