Toyota Brazil tawar opsyen perisai kalis peluru untuk kereta baharu

188

Faktor persekitaran dan masyarakat setempat banyak mempengaruhi penawaran opsyen yang ditawarkan oleh sesetengah pengeluar pada model kereta baharu.

Seperti contoh di Brazil, kadar jenayah yang agak tinggi membuatkan sesetengah pengeluar mula menawarkan opsyen perisai ringan untuk menjamin keselamatan pengguna di atas jalan raya.

Menurut Top Gear PH, Toyota Brazil telah bekerjasama dengan pakar pembuat perisai kenderaan tempatan seperti Avallon, Carbon, Evolution Blindagens dan Parvi Blindados untuk pemasangan perisai ringan pada kenderaan baharu dan terpakai.



Berdasarkan laman web khas, antara model yang sesuai dipasangkan perisai ringan ini termasuklah sedan Corolla, SUV Corolla Cross, trak pikap Hilux dan SUV Fortuner.

Syarikat tersebut akan melakukan beberapa penambahbaikan, seperti contoh menguatkan badan dengan penggunaan bahan khas serta memasang kaca tingkap lebih tebal.

Ia tidaklah menawarkan tahap perlindungan kalis peluru yang hebat seperti model-model sedan eksekutif yang lebih mahal.

Akan tetapi, ia masih lagi mampu memberikan perlindungan daripada serangan peluru senjata api kecil, serta senjata lain seperti kayu besbol atau paip logam.

Kos pemasangan perisai ringan ini tidak didedahkan, namun setiap pemasangan itu akan didatangkan dengan jaminan perkhidmatan selama lima tahun, serta jaminan sehingga 10 tahun bergantung kepada bahan perlindungan yang digunakan.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here