Mazda EZ-6 merupakan model pewaris tidak langsung kepada sedan segmen D Mazda6 yang telah pun dihentikan produksinya.
Ini kerana ia bukanlah dibina atas pelantar Mazda, sebaliknya berkongsi platform dengan model sedan elektrik buatan China, iaitu Deepal SL03 menerusi rakan kerjasama Mazda bersama Changan.
Mazda EZ-6 dipertontonkan secara rasmi pada Beijing Auto Show empat bulan yang lalu. Awalnya sedan itu dihasilkan eksklusif untuk pasaran China.
Namun, dalam perkembangan terbaharu Mazda mengumumkan sedan tersebut akan mula ditawarkan di pasaran global, bermula dengan pasaran China dan Eropah menjelang musim luruh tahun ini.
Di China, Mazda akan menjual sedan EZ-6 dengan dua pilihan rangkaian kuasa.
Versi elektrik (BEV) mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 600km, dengan dua pilihan pek bateri (58.9 kWh dan 66.8 kWh), serta motor elektrik tunggal berkuasa 215hp/320 Nm atau versi paling berkuasa sehingga 255hp.
Sementara versi penambah jarak (EREV) pula dibekalkan dengan enjin 1.5 liter, motor elektrik 215hp, dan pek bateri lithium iron phosphate di mana ia mampu menawarkan jarak pemanduan sejauh 1,000 km untuk setangki bahan api penuh.