Hasrat seorang lelaki warga Bangladesh ‘membantu’ adiknya yang ditahan kerana memandu lori tanpa lesen memandu bertukar sebaliknya apabila membongkar dirinya yang memiliki lesen terbang di Jalan Pendamaran, Klang, baru-baru ini.
Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 12 tengah hari, Selasa lalu ketika lelaki berusia 27 tahun itu hadir menaiki Kia Optima.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, pihaknya terdahulu menahan seorang lelaki yang merupakan pemandu lori muatan ais semasa rondaan penguatkuasaan kenderaan perdagangan oleh anggota Stesen Penguatkuasa Banting, pada hari sama.
Hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori berusia 24 tahun bukan sahaja tidak mempunyai pasport malah lesen memandu Kenderaan Barangan (GDL).
“Siasatan mendapati warga asing itu menggantikan abangnya pada hari tersebut bagi membawa lori berkenaan.
“Anggota telah mengambil tindakan untuk sitaan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saman,” katanya.
Menurut beliau, sewaktu proses dokumentasi sita dilaksanakan telah datang seorang lelaki didapati abang kepada pemandu tersebut.
Ujarnya, lelaki tersebut hadir dengan memandu kereta Kia Optima dan membawa pasport rakannya itu.
“Anggota bertugas turut memeriksa pemandu Kia Optima tersebut dan mendapati lesen yang dikemukakan disyaki palsu.
“Hasil siasatan awal mendapati lesen tersebut dibeli secara dalam talian di Facebook dengan bayaran sekitar RM2,500 pada dua tahun lalu,” jelasnya.
Azrin menegaskan tindakan sita dan saman turut dikeluarkan kepada pemandu tersebut.