Laporan akhir mengenai nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos tahun lalu mendedahkan berpunca daripada tindakan peluasan tidak sengaja ‘lift dump spoiler’ kru penerbangan ketika melakukan pemeriksaan sebelum mendarat.
Laporan siasatan itu juga mendapati latihan kru yang tidak mencukupi dan kurangnya kesedaran tentang operasi sistem ‘lift dump’ turut menjadi faktor penyumbang ke atas nahas yang mengorbankan 10 orang.
“Pembantu juruterbang tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang risiko yang berkaitan dengan sistem ini, yang menyebabkan kesilapan operasi berlaku.
“Tindakan ini menyebabkan kehilangan daya angkat secara mendadak, sekali gus mengakibatkan kehilangan kawalan pesawat dan kemalangan tragis itu,” menurut laporan itu setebal 148 muka surat yang dikeluarkan hari ini.
Dalam kejadian pada 17 Ogos 2023, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang mengorbankan 10 nyawa iaitu lapan penumpang (enam penumpang dan dua anak kapal penerbangan) serta seorang pemandu e-hailing dan seorang penunggang p-hailing.
Dalam aeronautik, spoiler (kadang-kadang disebut sebagai pengurang angkat atau pengurang daya angkat) adalah peranti yang sengaja mengurangkan komponen daya angkat pada sesebuah airfoil secara terkawal.
Selalunya, spoiler adalah plat di permukaan atas sayap yang boleh dinaikkan ke atas ke dalam aliran udara untuk mengganggu aliran udara yang licin.
Dengan cara ini, spoiler mencipta kekurangan kawalan pada bahagian sayap di belakangnya, yang secara ketara mengurangkan daya angkat pada bahagian sayap tersebut.
Spoiler berbeza daripada brek udara kerana brek udara direka untuk meningkatkan seretan tanpa mengganggu pengagihan daya angkat di seluruh rentang sayap, manakala spoiler mengganggu pengagihan daya angkat serta meningkatkan seretan.