Ford Mustang (2025) dapat warna biru klasik, grafik meter SVT Cobra

168

Sama ada anda sedar atau tidak, ‘pony car’ Ford Mustang sebenarnya sudah pun menyambut ulang tahun yang ke-60 pada tahun ini sejak ia diproduksikan bermula 1964.

Pada bulan April, Ford mendedahkan Mustang 60th Anniversary Package (2025) di mana pada mulanya ia hanya boleh didapati dalam warna Wimbledon White, Race Red dan Vapor Blue.

Dalam kemas kini terbaharu, Ford menambah warna baharu Brittany Blue yang dihasilkan khusus untuk pembeli model Mustang 60th Anniversary varian Fastback dengan transmisi automatik 10-kelajuan sahaja.



Selain daripada itu, Ford menawarkan pakej ekzos Active-Valve Performance, brek Brembo, LSD belakang 3.55, sistem bunyi B&O 12 pembesar suara serta balutan upholsteri Space Gray untuk pemilik Mustang Brittany Blue.

Menariknya, Ford turut mengumumkan opsyen grafik meter kluster digital baharu untuk model 60th Anniversary yang mengambil inspirasi daripada meter Mustang SVT Cobra (1999-2001).

Grafik meter baharu ini mempunyai rekaan dial putih pada waktu siang dan berubah menjadi dial icy blue pada waktu malam.

Ditawarkan dalam unit terhad, setiap satu Ford Mustang 60th Anniversary Edition berwarna Brittany Blue dijual pada harga $65,245 (RM285,773).

Ford tidak mendedahkan seberapa banyak Mustang berwarna Brittany Blue ini akan dihasilkan.

Namun semasa pelancaran April lepas, Ford mengesahkan angka produksi jentera edisi ulang tahun ini akan dihadkan kepada 1,965 unit sahaja.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here