Dua penjenayah larikan diri 20km sebelum terlibat dalam kemalangan

272

Dua penjenayah yang melarikan diri sejauh lebih 20km berjaya ditahan selepas kenderaan mereka terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Pengkalan, Alor Gajah, pada pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 9 pagi suspek yang menaiki Toyota Vios dikejar oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sejauh lebih 20km dari Kampung Lapan, Bachang hingga ke lokasi kejadian.



Menurutnya, siasatan awal mendapati setiba di lokasi kejadian, kenderaan suspek yang sedang memecut laju kemudian telah menyongsang arah sebelum merempuh Nissan Navara di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

“Dipercayai kenderaan suspek telah dikejar polis dari arah Durian Tunggal menghala ke Alor Gajah.

“Namun setiba di persimpangan lampu isyarat itu, pemandu bertindak menyongsang arus lalu bertembung secara berdepan dengan pacuan empat roda yang datang dari arah Alor Gajah menghala ke Durian Tunggal.

“Akibat kemalangan itu suspek pemandu serta penumpang masing-masing berusia 45 dan 20 tahun mengalami patah dan cedera kaki kanan dirawat di Hospital Alor Gajah,” katanya.

Tambahnya, pemandu pacuan empat roda berusia 35 tahun dan mengusahakan tanaman sayur bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujarnya, kedua-dua lelaki yang merupakan penganggur dan beralamat di Pantai Dalam, Kuala Lumpur dan Bandar Baru Selayang, Selangor akan ditahan untuk siasatan lanjut.

Pemeriksaan yang dilakukan dalam kenderaan suspek turut menjumpai sejumlah dadah dan alatan pecah rumah dan disyaki suspek adalah penjenayah.

Kes akan diserah untuk siasatan kepada IPD Melaka Tengah dan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai hingga mengakibatkan kemalangan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here