Dodge Attitude (2025) dilancarkan untuk pasaran Mexico, rebadge model Trumpchi Empow

43

Selain menghasilkan kereta-kereta muscle dan berkuasa tinggi seperti Charger dan Durango, syarikat automotif Amerika Syarikat Dodge turut mempunyai beberapa model kereta versi tukar lencana.

Salah satu daripadanya ialah Dodge Attitude.

Tahukah anda, Dodge Attitute merupakan salah satu contoh kenderaan kejuruteraan lencana yang majmuk?



Ya, Dodge tidak bergantung kepada satu-satu pengeluar sahaja, sebaliknya syarikat itu menggunakan tiga jenama yang berbeza untuk empat generasi Attitude yang dijual di pasaran Mexico.

Dodge Attitude 2025 ini merupakan model sedan terbaharu menggunakan asas daripada sedan buatan China, iaitu GAC/Trumpchi Empow.

Untuk makluman, generasi pertama dan kedua Dodge Attitude merupakan sedan subkompak yang ditukarkan lencananya daripada model Hyundai Accent.

Dodge Attitude 2025 generasi keempat ini pula direka untuk menggantikan generasi ketiga yang menggunakan asas Mitsubishi Mirage dengan membawakan rupa paras yang lebih agresif.

Terdapat tiga varian utama ditawarkan kepada pembeli, namun kesemua versi tersebut didatangkan dengan enjin 1.5 liter berkuasa 168 hp dan 270 Nm yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.

Secara standard, Dodge Attitude 2025 mendapat kelengkapan seperti sistem ekzos sports, rim aluminium 17 inci, penyeka kaca sensitif hujan, sistem lampu LED automatik berserta lampu nyalaan siang DRL.

Ruang kabin pula dilengkapi dengan skrin kluster digital tujuh inci, skrin infohibur sebesar 10.25 inci, kawalan jelajah, sistem kemasukan pasif, kamera undur dan penderia parkir hadapan.

Versi pertengahan Attitude Sport pula mendapat sistem ekzos berprestasi, rim 18 inci, bumbung suria, tempat duduk balutan kulit sintetik, skrin kluster 10.25 inci, roda stereng balutan kulit dan kawalan iklim dua zon automatik.

Sementara varian tertinggi Attitude GT pula menampilkan rim 18 inci berwarna hitam, spoiler belakang, kemasan dalaman dua tona, pengecas peranti pintar tanpa wayar, dan cermin pandang belakang auto kelam.

Dua varian tertinggi Attitude turut mendapat ciri bantuan keselamatan autonomi Tahap 2 merangkumi fungsi kawalan jelajah adaptif, brek kecemasan autonomi, bantuan kesesakan trafik, bantuan suluhan tinggi, amaran keluar lorong, amaran pelanggaran hadapan dan pengesanan papan tanda trafik.

Di Mexico, Dodge Attitude djual pada harga bermula dari MXN399,900 (RM90,737).

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here