#TahukahAnda : Insiden penebat kilat Menara Umno, mangsa tertimbus disemadikan di lokasi kejadian

4260

Sudah masuk hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India, Vijayaletchumy, 48, yang terjatuh sedalam lapan meter akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Pencarian mangsa tanah jerlus Masjid India

Sehingga kini masih tiada petunjuk baharu ditemukan walaupun pencarian dilakukan  di lima daripada enam lurang kumbahan Indah Water Konsortium (IWK).

Terkini, pasukan penyelamat memutuskan untuk melakukan teknik ‘flushing’ di lurang lima dan enam iaitu berhampiran Bank Pertanian Lebuh Pasar Besar serta berdekatan Bulatan Kinabalu setelah mendapati arus di kedua-dua lokasi agak perlahan dipercayai disebabkan ada sekatan atau reruntuhan puing.



Dalam pada itu, ahli keluarga sudah bersedia dengan segala kemungkinan namun berharap dapat menatap wajah mangsa. 

INSIDEN RUNTUHAN PENEBAT KILAT DI PULAU PINANG

Pada kedalaman kira-kira 3.05 meter pasukan penyelamat mula menjumpai bahagian depan kereta

Insiden tersebut mengingatkan kembali kemalangan nyawa yang berlaku 11 tahun lalu di Jalan Macalister, Pulau Pinang.

Masihkah anda ingat?, pada lewat petang 13 Jun 2013, ribut melanda Pulau Pinang sehingga menyebabkan runtuhan penebat kilat Menara Umno di Jalan Macalister, George Town.

Runtuhan struktur itu menghempap beberapa kenderaan yang berada di jalan berkenaan dan seorang mangsa yang bersemadi di jalan tersebut.

Pada hari kejadian Lim Chin Aik yang ketika itu berusia 44 tahun dalam perjalanan menjemput anaknya di Penang Chinese Girl’s High School, Jalan Gottlieb.

Bagaimanapun, Chin Aik yang memandu Honda City berwarna kelabu pada hari kejadian tidak pulang sebaliknya guru menghantar anak beliau ke rumah. Laporan kehilangan Chin Aik dilakukan pihak keluarga pada keesokkan petang. 

RAKAMAN CCTV TUNJUK KONKRIT JATUH SECARA MENEGAK

Rakaman CCTV

Keberadaan Chin Aik di lokasi kejadian hanya diketahui selepas dua hari kejadian menerusi penelitian kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Ismail Mohd Zain berkata rakaman CCTV yang diperoleh dari bilik kawalan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dilihat berulang kali dalam gerak biasa dan gerak perlahan jelas menunjukkan konkrit yang jatuh secara menegak itu telah membenam sebuah kenderaan ke dalam tanah.

Beliau bergegas ke tempat kejadian dan memaklumkan kepada pihak polis yang bertugas di kawasan berkenaan bahawa disyaki terdapat mangsa terlibat dalam insiden itu.

“Pada kedalaman kira-kira 3.05 meter pasukan penyelamat mula menjumpai bahagian depan kereta yang ada tertulis nombor casis, apabila kerja-kerja mengorek diteruskan lagi sedalam 1.5 meter pasukan penyelamat menjumpai bahagian badan kereta dan tayar,” katanya.

Seorang Juruteknik Kanan Unit Perancangan Lalu Lintas MPPP, Omar Mat Kassim memberitahu awalnya beliau menyangkakan konkrit yang terjatuh dan mengenai sebuah kenderaan dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang pada 13 Jun itu  adalah gangguan pada imej CCTV akibat cuaca buruk.

Beliau yang tidak mengesyaki terdapat mangsa terlibat dalam kejadian itu memberitahu tidak menonton rakaman CCTV sehinggalah kontraktor datang untuk menyelenggara CCTV yang rosak akibat gangguan bekalan elektrik pada 15 Jun.

“Ketika itu saya melihat sekali lagi rakaman CCTV secara gerak perlahan dan waktu itu baru saya sedar terdapat sebuah konkrit terjatuh di atas sebuah kereta dan bukannya gangguan imej seperti yang saya sangka pada awalnya,” katanya.

Informasi berkenaan dikongsi di Mahkamah Koroner bagi inkues pengesahan kematian Chin Aik yang dipercayai tertimbus di dalam kawasan runtuhan penebat kilat dan bagi membolehkan Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan sijil kematian dan bertujuan memudahkan urusan tuntutan insurans keluarga mangsa.

JASAD DUKAR DITEMUKAN DAN DISEMADIKAN DI LOKASI

Situasi yang berat buat ahli keluarga apabila jasad mendiang sukar untuk ditemukan kerana dipercayai terbenam sekurang-kurangnya sedalam 40 meter atau setinggi 13 tingkat bangunan di bawah tanah dan di bawah konkrit bertetulang dengan kepanjangan 30 meter.

Situasinya ibarat sebatang pencil gergasi jatuh terbenam ke dalam tanah, suku di bahagian atas pecah dan memecahkan permukaan sekitarnya manakala selebihnya tertanam di bawah tanah.

Manakala bahagian kereta itu diseret turun pada kedalaman lapan hingga sembilan meter. Susulan insiden itu hanya 10 meter bahagian konkrit yang jatuh boleh dikenalpasti, selebihnya masih tertanam bersama mangsa.

Operasi penggalian tidak dapat diteruskan melebihi 9 meter kerana keadaan tanah yang lemah dan boleh menjejaskan integriti struktur bangunan berdekatan.

Susulan itu jasad mangsa tertanam dan disemadikan di Jalan Macalister yang terletak di tengah-tengah bandaraya George Town.

Insiden itu turut meragut nyawa seorang pekerja asing, Jahir Sulaiman, 46, selepas lori yang dinaiki bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat Menara Umno tersebut.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here