SPRM tahan lima termasuk dua beradik seleweng diesel subsidi nelayan

83

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak kerana dipercayai terlibat sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di depoh simpanan minyak diesel Sungai Bidut, Sibu, Sarawak, semalam.

Menurut sumber, suspek lelaki berumur dalam lingkungan 40-an dan adiknya, 30-an ditahan dalam Op Liter yang dijalankan Bahagian Operasi Khas dan Skuad Taktikal Khas SPRM dengan kerjasama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).



Mereka ditahan bersama dua lagi lelaki dan wanita di depoh berkenaan, selepas dipercayai terlibat dengan sindiket penjualan minyak diesel bersubsidi bagi kegunaan nelayan namun dijual pada kadar harga lebih tinggi kepada pembeli dari luar negara.

“Sindiket ini dipercayai beroperasi sejak 2012 dan mengaut keuntungan sehingga RM400 juta.

“Mereka disyaki turut membayar rasuah kepada beberapa penguatkuasa sebuah agenis, bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana menyimpan minyak diesel tanpa permit yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi itu, SPRM menyita dua tongkang dan 30 tangki simpanan minyak dipercayai mengandungi kira-kira 1.6 juta liter diesel dan wang tunai sekitar RM3.7 juta.

Dua beradik berkenaan masing-masing direman sehari dan empat hari bagi membantu siasatan manakala dua lelaki dan seorang wanita dibebaskan dengan jaminan SPRM hari ini.

Kes disiasat di bawah Sekyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan serta Akta Kawalan Bekalan 1961. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here