Remaja ditahan polis selepas videonya melakukan aksi ‘wheelie’ ketika menunggang motosikal viral di media sosial.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Hilir Perak mengesan aksi itu berlaku di KM1 Jalan Changkat Jong, Teluk Intan.
Susulan itu, polis melakukan tangkapan ke atas remaja berusia 15 tahun itu di pekarangan Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Teluk Intan, pada jam 5 petang semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang di atas jalan awam dengan cara berbahaya dan melulu.
Tegas Ahmad Adnan, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana salah laku melibatkan pemanduan atau menunggang hingga membahayakan nyawa.