Bermula 1 Januari 2025, pemandu Singapura perlu selesaikan saman sebelum keluar Malaysia

163

Pemandu Singapura yang tidak membayar saman trafik di Malaysia akan menghadapi tindakan penguatkuasaan sebaik sahaja sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) berkuatkuasa.

Gambar hiasan

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata antara 1 Oktober dan 31 Disember, penguatkuasaan VEP akan dilakukan secara berperingkat dan kenderaan asing yang memiliki saman masih dibenarkan masuk dan keluar dari Malaysia.

Menurut laporan The Straits Times, jabatan itu akan memberi tumpuan kepada advokasi dalam tempoh ini.



Bagaimanapun, bermula 1 Januari tahun depan tindakan penguatkuasaan penuh akan dilaksanakan.

Namun, pemilik kenderaan asing dengan saman tertunggak digalakkan melakukan pembayaran bermula 1 Oktober sebelum meninggalkan Malaysia.

Sebelum ini dilaporkan sebanyak 35,011 saman kenderaan Singapura yang masih belum dibayar sejak 1990 dengan anggaran nilai RM3.5 juta.

APAKAH VEP?

Malaysia akan menguatkuasakan VEP ke atas semua kenderaan asing yang masuk dari Singapura bermula 1 Oktober.

Peraturan itu akan dikuatkuasakan untuk pintu masuk di kedua-dua kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor dan di Bangunan Sultan Abu Bakar di Link Kedua Malaysia-Singapura.

Ia bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan di Malaysia. 

Sesiapa yang memandu kenderaan asing tanpa VEP sebelum memasuki Malaysia atau semasa berada di negara ini adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan seperti termaktub dalam Seksyen 119 (2) Akta 333. 

JPJ juga mempunyai kuasa untuk melarang mana-mana kenderaan asing tanpa VEP memasuki Malaysia, selain menghalangnya daripada meninggalkan Malaysia jika terdapat perkara tidak dapat diselesaikan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 66J Akta 333.

Ini bermakna jika mereka melakukan kesalahan jalan raya atau mempunyai saman tertunggak, perlu menyelesaikannya terlebih dahulu sebelum meninggalkan Malaysia. 

Bayaran bagi setiap tag VEP dikenakan sebanyak RM10 yang mana sah selama lima tahun dan akan dihantar ke rumah pemohon tanpa perlu datang ke Johor untuk mengambil tag RFID VEP masing-masing.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here