Lesen memandu Indonesia akan diiktiraf secara rasmi di beberapa negara Asia Tenggara mulai 1 Jun 2025, membolehkan warga Indonesia memandu di luar negara tanpa memerlukan permit memandu antarabangsa.
Pengiktirafan itu terpakai di Brunei, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam, lapor portal berita Tribunnews.com.
Pengarah pendaftaran dan pengenalan kenderaan bahagian Trafik Polis Indonesia Yusri Yunus berkata kad pengenalan kini juga akan berfungsi sebagai lesen memandu, memperkemas integrasinya dengan dokumen undang-undang lain seperti nombor pengenalan cukai dan rekod keselamatan sosial.
“Reka bentuk lesen memandu baharu juga akan menampilkan logo kategori seperti Kelas A untuk kereta dan Kelas C untuk motosikal bagi membantu pihak berkuasa asing mengenal pasti,” katanya.
Menurut laporan Tribunnews.com, lesen memandu Indonesia telah diiktiraf di rantau ini sejak 1985 di bawah Perjanjian Pengiktirafan Lesen Memandu Domestik yang diperluaskan pada 1997 untuk merangkumi lebih banyak negara seperti Kemboja.
Bagaimanapun tambah laporan itu, negara seperti Singapura hanya mengiktiraf lesen memandu Indonesia selama 12 bulan dari tarikh ketibaan, manakala Malaysia mewajibkan permit memandu antarabangsa untuk pemandu asing, termasuk dari Indonesia sejak 2018.