BMW, Toyota kembangkan kerjasama untuk bangunkan teknologi hidrogen

96

Kerjasama antara BMW dan Toyota tidak terhad kepada model kereta sports Toyota GR Supra semata-mata.

Dalam perkembangan terbaharu yang dilaporkan oleh Nikkei Asia, dua pengeluar automotif itu akan memperkukuhkan kerjasama yang terjalin untuk membangunkan teknologi hidrogen.

Ia bakal menyaksikan Toyota akan membekalkan lebih banyak komponen rangkaian kuasa hidrogen penting kepada BMW, termasuklah sistem sel bahan api dan tangki hidrogen.



BMW pula akan menggunakan teknologi EV yang dibangunkan sendiri seperti sistem pacuan untuk melengkapkan proses produksi kenderaan hidrogen.

BMW sebelum ini membangunkan sebuah model konsep sel bahan api iX5 Hydrogen, dengan dua tangki bahan api hidrogen yang boleh diisi penuh dalam tempoh empat minit dan jarak gerak melebihi 500 km.

Produksi massa BMW iX5 Hydrogen dijangka bermula dalam tempoh beberapa tahun akan datang, namun dengan sistem sel bahan api yang dibekalkan oleh Toyota dapat mengurangkan tempoh tersebut serta kos produksi.

Laporan Nikkei Asia turut menambah, pengukuhan pakatan BMW-Toyota itu akan turut merangkumi kerjasama untuk membangunkan infrastruktur pembekalan hidrogen yang lebih meluas untuk benua Eropah.

Menurut Persatuan Pengilang Automobil Eropah, setakat akhir 2023 terdapat 270 buah stesen pengisian hidrogen berbanding 632,000 stesen pengecasan EV di seluruh Eropah.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here