Kerajaan lulus RM100 juta peruntukan tambahan selenggara jalan Persekutuan

54

Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan penyenggaraan Jalan Persekutuan di seluruh Semenanjung berjumlah RM100 juta bulan ini, untuk memperkasakan Kontraktor Bumiputera G1-G4.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM70 juta diperuntukkan bagi 79 kerja penyelenggaraan Berkala Pavemen dan RM30 juta untuk 200 kerja penyelenggaraan Berkala Bukan Pavemen.

Gambar hiasan

Ahmad berkata, Johor menerima peruntukan terbesar bagi Zon Selatan dengan jumlah RM11.75 juta diikuti Negeri Sembilan (RM6.645 juta) dan Melaka (RM2.165 juta).



Beliau berkata, Johor mendapat peruntukan RM8.05 juta untuk 10 kerja penyenggaraan jalan Berkala Pavemen sementara Negeri Sembilan menerima RM5.4 juta (enam kerja penyenggaraan) dan Melaka RM1.61 juta (dua kerja penyenggaraan).

Bagi kerja Berkala Bukan Pavemen, katanya sebanyak RM3.7 juta untuk 36 kerja penyenggaraan diperuntukkan kepada Johor manakala Negeri Sembilan memperoleh RM2.245 juta (11 kerja penyenggaraan) dan Melaka RM555,000 (enam kerja penyenggaraan).

“Kerja-kerja penyenggaraan jalan Berkala Pavemen melibatkan kerja pembaikan turapan dan struktur jalan yang rosak menggunakan pelbagai teknik yang bertepatan dengan jenis kerosakan seperti mill and pave, overlay, pembinaan semula struktur jalan dan menurap semula turapan jalan.

“Penyenggaraan Berkala Bukan Pavemen pula melibatkan kerja-kerja pembaikan aset-aset jalan selain struktur dan turapan jalan, seperti mengecat garisan jalan, penyenggaraan jambatan, membaiki longkang, membaik pulih papan tanda, membaiki penghadang jalan dan sebagainya,” katanya.

Ahmad berkata, pelantikan kontraktor secara cabutan undi itu dikhususkan kepada Kontraktor Bumiputera Gred G1-G4 yang layak sama ada dari segi rekod prestasi dan mempunyai pendaftaran lesen yang masih sah dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), mempunyai Sijil Taraf Bumiputera (STB) dan berdaftar mengikut had nilai kerja yang disenaraikan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here