Dengan sumber duit yang tidak terbatas, anda boleh mendapatkan pakej perlindungan yang serba lengkap dalam pelbagai jenis bentuk, rupa dan tidak ketinggalan pilihan kereta yang bersesuaian.
US Armor Group baru-baru ini menawarkan sebuah sedan elektrik kalis peluru Lucid Air Sapphire yang disifatkan sebagai kereta berperisai paling pantas di dunia.
Secara standard, Lucid Air Sapphire datang dengan tiga motor elektrik berkuasa sehingga 1,234 hp dan 1,939 Nm, membolehkan pecutan 0-96 km/j dalam masa 1.89 saat.
Pakej perlindungan yang dimaksudkan itu merangkumi penggunaan bahan komposit ringan pada pintu dan panel badan yang dikatakan 10 kali lebih kuat dan lima kali lebih ringan berbanding keluli balistik.
Selain itu, Air Sapphire ini menggunakan perisai lutsinar berlamina serba ringan bagi menggantikan kaca tingkap, dengan keupayaan yang mampu menahan serangan peluru pistol magnum .44.
Penambahan perisai tersebut menjadikan berat keseluruhan meningkat sebanyak 175 kg kepada 2.6 tan.
Namun begitu, US Armor Group menjelaskan Air Sapphire kalis peluru ini masih mampu mencapai kelajuan 322 km/j.
Pembeli juga boleh menambah pakej perlindungan seperti pemegang pintu dengan fungsi renjatan elektrik, semburan lada, perlindungan dan pengesanan gas beracun, slot senjata api serta perisai yang lebih kuat untuk menahan serangan peluru raifal dan bahan letupan.
Tidak cukup dengan itu, US Armor Group turut menawarkan pakej WiFi yang sukar digodam dari luar, sistem pengimbas dengan akses kepada balai polis dan bomba berhampiran, serta poin akses yang menghubungkan terus kepada US Armor Group untuk bantuan tambahan.
US Armor Group mengenakan kos sekitar $475,000 (RM2.05 juta), jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan kos Lucid Air Sapphire standard kilang ($250,000 atau RM1.08 juta).