Tol percuma di Lebuhraya WCE Seksyen 1 sempena Hari Kebangsaan

131

Pengguna Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang melalui Plaza Tol Seksyen 1 (Persimpangan Bertingkat Banting) Banting, tidak perlu membayar tol selama sebulan bermula 12.01 tengah malam ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengecualian bayaran tol itu bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 selain menyambut setahun pelaksanaan inisiatif MyJalan oleh kerajaan.



“Saya juga ingin jelaskan pemberian tol percuma ini hanya untuk Lebuhraya WCE Seksyen 1 sahaja dan tidak melibatkan tol lain yang bersambung dengan lebuh raya ini.

“Pelaksanaan tol percuma ini berlangsung hingga 29 September, 11.59 malam,” katanya. 

Alexander berkata, pembukaan lebuhraya sepanjang 12.5km itu yang menghubungkan Jalan Dengkil – Banting (FT31) ke Lebuhraya SKVE mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi serta kemajuan untuk kawasan selatan Selangor khususnya Kuala Langat.

Beliau berkata, lebuh raya itu yang bersambung dengan Lebuhraya SKVE, juga memberikan kemudahan kepada penduduk di sekitar Banting untuk ke bandar-bandar utama di Selatan Lembah Klang seperti Putrajaya, Bangi dan Kajang sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan berkenaan.

Alexander berharap baki empat lagi seksyen lebuh raya berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan selain menjangkakan Seksyen 2 bagi lebuh raya itu akan siap pada Disember depan.

“Kita juga difahamkan oleh pihak konsesi bahawa jangkaan awal lebuh raya ini akan menerima lebih kurang 10,000 kenderaan sehari,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here