Kerajaan memutuskan kesemua motosikal baharu dengan enjin berkapasiti 150cc dan ke atas wajib memiliki sistem Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) bermula 1 Januari 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut bagi menangani kes kemalangan jalan raya khususnya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.
“Kita mulakan dengan menjadikan penunggang motosikal lebih selamat kerana 65 peratus daripada jumlah kematian jalan raya tahun lalu adalah penunggang motosikal,” katanya.
Menurutnya, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati ABS berupaya mengurangkan kadar kemalangan maut sebanyak 31 peratus.
“Malaysia antara negara di Asia Tenggara yang berdepan isu ini, walaupun kadar kematian per 100,000 orang menurun daripada 27 peratus pada tahun 2000 kepada 22.5 peratus pada 2019, ia tetap antara yang tertinggi di dunia.
“Kita dapati lebih daripada 6,000 kematian setiap tahun. Kubur-kubur ini bersamaan dengan keluasan enam padang bola,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mencadangkan agar skop Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP) dapat diperluaskan ke luar negara merangkumi rantau Asia dalam meningkatkan keselamatan motosikal.
“Setakat ini, MyMAP telah menilai 28 model daripada tujuh pengeluar motosikal dan kesemuanya diberi penarafan bintang.
“Jadi sekarang anda boleh tahu motosikal mana, dari syarikat mana yang lebih selamat dan yang mana tidak,” katanya.