Puspakom kini memulakan operasi sebagai pemegang lesen pemeriksaan kenderaan yang pertama dalam negara berkuatkuasa 1 September ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata penganugerahan lesen operasi itu berupaya membuka peluang kepada Puspakom untuk menjadi entiti yang lebih lestari dan kompetitif dalam sektor automotif negara.
Puspakom akan memanfaatkan pengalaman 30 tahun dalam industri untuk digabungkan dengan teknologi terkini agar terus relevan dan kekal sebagai pilihan utama pelanggan.
“Puspakom berbangga menjadi pemegang lesen pemeriksaan kenderaan pertama negara dan akan terus mengekalkan misi kami untuk menjadikan pengangkutan jalan raya lebih selamat melalui pemeriksaan kenderaan.
“Ketika persiapan untuk menghadapi landskap yang kompetitif, kami telah merangka pelan komprehensif untuk penambahbaikan agar lebih bersedia pada masa depan.
“Ini termasuk menaiktaraf perkhidmatan pelanggan, produk dan servis baharu serta penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) untuk menjadikan Puspakom bersedia menghadapi persaingan,” katanya.
PEMERIKSAAN 34 MINIT BERBANDING 75 MINIT SEBELUMNYA
Puspakom telah memulakan operasi percubaan selama 16 jam di cawangan Glenmarie Shah Alam yang kini dilaksanakan dalam dua syif, bermula jam 7 pagi sehingga 11 malam.
Mahmood Razak turut memaklumkan, tempoh percubaan operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha memperbaiki mutu penyampaian perkhidmatan dan pengumpulan data dari segi cabaran operasi serta penerimaan pelanggan.
Tambah beliau, meskipun cawangan Glenmarie hanya untuk kereta persendirian, ia membolehkan pihaknya mendapatkan data yang diperlukan dan membuat penambahbaikan sebelum melaksanakannya di cawangan lain.
Jelasnya lagi, waktu operasi lebih panjang akan dilaksanakan di kawasan tumpuan pasaran utama setelah fasa percubaan berjaya dan data yang diperolehi dikaji.
“Fasa percubaan di Glenmarie akan berakhir pada 3 Januari 2025. Justeru, saya ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan.
“Terutamanya Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana terus meletakkan kepercayaan kepada Puspakom.
“Dahulu, pemeriksaan kami mengambil masa lebih 75 minit, hari ini dengan penggunaan teknologi dan aliran kerja yang lebih baik, secara purata boleh diselesaikan dalam hanya 34 minit,“ katanya.