Kerajaan setuju kekal harga siling tiket penerbangan RM599 ke Sabah, Sarawak musim perayaan

74

Kerajaan bersetuju meneruskan dua inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata, dua inisiatif itu ialah meneruskan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar institut pengajian tinggi bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan (FLYsiswa) dan mengekalkan harga siling tiket penerbangan RM599 antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak pada musim perayaan.



“Kabinet telah pun memutuskan untuk inisiatif program FLYsiswa iaitu bantuan penerbangan kepada pelajar Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang layak, mereka tetap diberikan bantuan RM300 dan itu akan dijadikan sebagai inisiatif tahunan.

“Jadi setiap tahun kita akan bantu ini di peringkat Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga akan ada membantu pelajar-pelajar mereka. Jadi ini dapat mengurangkan beban khususnya untuk pelajar,” katanya.

Loke berkata, Jemaah Menteri juga bersetuju untuk mengekalkan dasar harga siling tiket penerbangan semasa musim perayaan, dengan tiga hari sebelum musim perayaan kerajaan akan menetapkan kadar siling untuk semua penerbangan antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.

“Kita akan tetapkan harga siling seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini iaitu pada harga RM599, jadi apa yang selebihnya kita akan bagi subsidi daripada kerajaan kepada syarikat penerbangan.

“Itu antara langkah yang kita ambil untuk memastikan terutamanya penduduk dan rakyat Sabah, Sarawak dapat dibantu dan mengurangkan beban mereka,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here