Pelaksanaan ABS, harga motosikal 150cc ke atas dijangka naik

350

Harga jualan motosikal baharu 150cc ke atas bakal dijangka akan mengalami kenaikan RM100 hingga RM200, susulan kerajaan mewajibkan penggunaan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Penganalisis industri automotif, Hezeri Samsuri berkata tidak banyak model popular yang akan terjejas dengan kenaikan itu.



“Kenaikan harga mungkin akan berlaku pada model-model baharu tetapi tidak akan mengalami peningkatan yang banyak.

“Saya kira kalau naikpun, dalam RM100 ke RM200 tetapi banyak model motosikal di atas 150cc sebenarnya sudah dilengkapi ABS. Ini bermakna tidak banyak model popular yang akan terjejas dengan kenaikan harga,” katanya.

Tambah beliau, ciri keselamatan ABS sangat penting bagi motosikal dengan prestasi enjin berkuasa tinggi terutamanya dalam keadaan cuaca negara yang sering dilanda hujan.

“Pemasangan ABS membolehkan penunggang membrek dengan selamat walaupun sedang mengambil selekoh. Ia juga memang terbukti mampu menurunkan kadar kemalangan.

“Sistem ini lambat diperkenalkan kerana faktor harga. Dahulu, modul motosikal yang ada ABS memang mahal sedikit, tetapi dengan pertumbuhan kilang komponen dan menjadi  kelengkapan wajib untuk banyak pasaran dunia, harganya turun dengan banyak,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan kesemua motosikal baharu dengan enjin berkapasiti 150cc ke atas, wajib dilengkapi ABS bermula 1 Januari 2025.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut bagi menangani kes kemalangan jalan raya khususnya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Menurutnya, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati ABS berupaya mengurangkan kadar kemalangan maut sebanyak 31 peratus.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here