Lebuhraya Baru Pantai Expressway (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) antara jalan utama yang akan ditutup sempena larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024 pada Ahad.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-kedua lebuh raya itu akan ditutup kepada lalu lintas pada jam 12.01 tengah malam dan akan dibuka semula sepenuhnya pada jam 11 pagi, Ahad.
“Semasa acara larian berlangsung, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, petugas trafik NPE dan Besraya akan membuat rondaan serta memantau kawasan yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terkawal,” katanya.
Hussein berkata, beberapa laluan akan ditutup antaranya pintu gerbang Sunway, persiaran Taman Medan, KM18.1 (susur Plaza Tol PSJ 2) dan Kilometer 18.4 (susur Dato Harun) arah Subang.
“Selain itu, susur Tampler, susur Kampung Pasir dan persiaran Kuchai arah Bangsar turut ditutup,” katanya.
Hussein berkata, program anjuran kali ke enam itu melibatkan lebih 10,000 peserta.
“Acara tahun ini menyaksikan penggabungan jajaran dua lebuhrayà laitư Lebuhraya NPE dan Besraya,” katanya.
Hussein berkata, kategori maraton penuh adalah 42.195km, kategori lain yang dipertandingkan termasuk 21km separuh maraton.
“Selain itu kategori 10 KM, 5 KM dan 1.5 KM yang baharu diperkenalkan untuk pelari muda,” katanya.
Beliau berkata, kesemua kategori perlumbaan akan bermula dan berakhir di kawasan berhadapan Sunway Pyramid.
“Peserta akan berlari ke arah Templer dan Kuchai Lama sebelum kembali semula ke Sunway.
“Bagaimanapun, hanya peserta dalam kategori maraton penuh sahaja akan berlari di sepanjang kedua-dua lebuh raya berkenaan,” katanya.
Hussein berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak melalui laluan- laluan yang terlibat dengan penutupan penuh bagi mengelakan kesesakan lalu lintas.
“Pengguna jalan raya perlu mengikuti arahan petugas polis trafik yang bertugas di lokasi,” ujarnya.