Crossover subkompak Toyota Raize sekadar mencatatkan skor satu bintang dalam ujian penilaian kenderaan baharu Latin NCAP.
Kembar kepada Perodua Ativa, Daihatsu Rocky dan Subaru Rex yang dijual di pasaran Mexico itu merekodkan skor 40.54% untuk Perlindungan Penumpang Dewasa, 71.57% untuk Perlindungan Penumpang Kanak-kanak, 58.70% untuk Perlindungan Pejalan Kaki, serta 58.14% untuk Bantuan Keselamatan.
Menurut pakar daripada Program Penilaian Kenderaan Baharu untuk Amerika Latin dan Caribbean, Toyota Raize mempunyai struktur yang tidak stabil serta perlindungan kecil pada dada pemandu untuk impak pelanggaran hadapan.
Ujian impak pelanggaran sisi pula mendedahkan berlakunya pencerobohan pada ruang penumpang yang mampu meningkatkan risiko kecederaan.
Disebabkan perlindungan sisi kepala tidak didatangkan secara standard, ujian impak tiang sisi direkodkan dengan sifar mata.
Walaupun Toyota ada menawarkan teknologi ADAS untuk pasaran lain, ciri tersebut nampaknya langsung tidak wujud pada model untuk pasaran Latin NCAP.
Secara standard, Toyota Raize hanya dibekalkan dengan dua unit beg udara, serta kawalan kestabilan elektronik (ESC).
Menurut Pengerusi Latin NCAP, Stephan Brodziak berkata, “adalah mengecewakan apabila Toyota terlibat menjual model kenderaan dengan ciri keselamatan yang rendah untuk sesetengah negara, seperti Raize.
“Kami tahu jenama itu boleh mencapai prestasi yang lebih baik dalam aspek keselamatan kenderaan, jadi kami menyeru kepada syarikat itu untuk mempertimbangkan strategi kelengkapan keselamatan dan melakukan penilaian supaya pelanggan tahu prestasi sebenar mereka.”