Badan strategi latihan di bawah kerajaan UK, Skills England digesa untuk menangani masalah kekurangan tenaga mahir dalam sektor pembaikan kenderaan elektrik (EV).
Thatcham Research, badan bukan berasakan keuntungan yang menerajui aspek keselamatan automotif di UK baru-baru ini mengeluarkan laporan yang menggariskan risiko sekiranya krisis tenaga mahir tidak diselesaikan.
Antara risiko yang diutarakan ialah peningkatan kos insurans serta kemungkinan lambakan kenderaan yang tidak boleh dibaiki.
Hal ini didorong oleh peningkatan tahap kerumitan sistem kenderaan yang dipacu oleh fokus industri terhadap automasi, keterhubungan dan elektrifikasi.
Ia diburukkan lagi dengan masalah kekurangan latihan yang kritikal disebabkan oleh dana yang tidak mencukupi bagi menampung kos yang diperlukan untuk program perantisan.
Menurut ketua eksekutif Thatcham, Jonathan Hewett berkata, “sektor automotif kini berdepan dengan masalah besar terdiri daripada perubahan teknologi yang pantas, kekurangan tingkat kemahiran dan pengambilan pekerja, serta golongan tenaga mahir yang semakin menua.”
“Semakan terhadap pembiayaan levi perantisan perlu ditangani sebagai satu keutamaan oleh Skills England dan IfATE (Institut Pendidikan Teknikal dan Perantisan) bagi menyalurkan dana yang diperlukan untuk tujuan latihan teknikal dalam sektor pembaikan,” ujarnya lagi.