Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) Cerebral Palsy mencari rezeki dengan menjual air menggunakan motosikal roda tiga.
Ia bukanlah halangan buat dirinya membanting tulang dan berdikari tanpa perlu berharap kepada orang lain.
Aniq Fitri Ros Efendi, 19, boleh dikatakan setiap hari akan menunggang motosikal di sekitar Senawang, Seremban untuk berniaga dari satu tempat ke satu tempat.
Meskipun mengakui ada yang mengambil kesempatan terhadap kekurangan dirinya, namun itu tidak menjadi penghalang untuknya terus mencari rezeki dan belajar berdikari.
Menurut anak tunggal itu, dia mahu membuktikan kepada orang ramai yang OKU sepertinya juga mampu berjaya seperti insan normal lain.
“Bukan orang normal saja boleh berjaya. Kita OKU ini pun boleh berjaya dengan cara kita sendiri.
“Kadang-kadang orang fikir OKU ini buat apa? Duduk rumah, makan dan tidur saja. Saya tak nak orang fikir saya macam itu dan sebab itulah saya keluar bekerja,” katanya.
40 BOTOL AIR TERJUAL SEHARI
Menurutnya, dia memilih untuk berniaga air botol kerana itu saja peluang pekerjaan yang diterimanya selepas mencuba nasib mencari kerja di beberapa tempat di daerah ini.
Setiap hari sekitar 35 hingga 40 botol air minuman pelbagai perisa yang terjual dan selama empat bulan bekerja dia memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan.
“Kalau duit simpanan saya dah cukup, saya target nak beli jam tangan jenama G-Shock, iPhone dan kereta,” katanya.
Bagaimanapun dengan keadaan fizikalnya, Aniq Fitri mengakui yang dia mudah penat, tetapi seronok untuk bekerja kerana dapat berjalan-jalan dan berjumpa ramai orang.
Bapanya, Ros Efendi Abd Rahman, 48 berkata awalnya dia mengikut dari belakang bagi memastikan keselamatan anak kesayangannya itu.
Selepas sebulan, dia ‘melepaskan’ anaknya itu mencari rezeki sendiri.
“Kalau orang lain tengok dia pun risau, apatah pula saya sebagai seorang bapa. Tapi saya kena kuatkan semangat, demi masa depannya.
“Sekarang ini saya dan isteri masih ada, bagaimana nanti jika kami tiada. Semestinya Aniq perlu belajar hidup berdikari.
“Tapi melihat keadaan dia sekarang yang sudah boleh bekerja sendiri dan belajar hidup berdikari, saya sebagai bapa sangat bangga dan berharap dia lebih berjaya suatu hari nanti,” katanya.