Tular: Pemilik BMW lari elak bil pembaikan RM38,000

2053

Seorang pemilik bengkel kereta dan dua pekerjanya cedera di Taman Setia Tropika di sini, semalam, ketika cuba menghalang pelanggan melarikan kenderaan BMW yang siap dibaiki tanpa membayar kos penyelenggaraan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 8.54 malam daripada lelaki berusia 29 tahun yang pemilik bengkel.

“Berdasarkan laporan itu, Sabtu lalu kira-kira 12 tengah hari, lelaki berusia 40-an datang ke bengkel mangsa untuk membaiki kerosakan kereta yang dianggarkan bernilai RM38,000.



“Semalam, kira-kira 8 malam, pelanggan sama datang semula ke bengkel itu bersama rakannya berusia 40 tahun dan berpura-pura mahu memandu uji keretanya, namun mereka bertindak melarikan kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika kejadian, mangsa ada menyuruh pekerjanya, lelaki berusia 23 tahun untuk mengikuti suspek ketika ujian pemanduan kerana bimbang pelanggan itu melarikan kereta tanpa membuat bayaran.

Katanya, ketika di kawasan Taman Bukit Kempas, suspek meminta pekerja bengkel itu memeriksa but kereta, namun rakan suspek tiba-tiba menyembur pemedih mata ke arah lelaki terbabit sebelum melarikan kenderaan berkenaan.

“Mangsa (pemilik bengkel) cuba menahan kereta dipandu suspek yang melintasi bengkelnya dengan berpaut pada cermin sisi kereta di lampu isyarat tetapi cuba dilanggar oleh suspek.

“Seorang lagi pekerja bengkel berusia 29 tahun cuba mengejar suspek dengan menunggang motosikal tetapi dihimpit kenderaan dipandu suspek sehingga terjatuh,” katanya.

Balveer Singh berkata, akibat kejadian itu, mangsa dan dua pekerjanya mengalami kecederaan, manakala kerugian dianggarkan RM43,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 324 kanun sama. Kes turut disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Nazarul Izwan Abdul Manaf ditalian 019-3811817.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here