Himpunan Yamaha RXZ Members 6.0 bakal menjana ekonomi penduduk setempat yang mana dianggarkan sekitar 80,000 pengunjung bakal berkumpul di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus.
Bahkan, himpunan berkenaan bukan sekadar menarik perhatian pemilik RX-Z Semenanjung Malaysia namun geng motor dari Borneo.
Walaupun terpisah melalui lautan, tidak menghalang pemilik RX-Z dari Sabah dan Sarawak ini untuk turut serta dalam acara Yamaha RXZ Members 6.0.
Menerusi perkongsian video pendek akaun Facebook Berong Crew, pemilik dari Borneo berkenaan membelanjakan ribuan ringgit bagi menghantar jentera roda dua mereka ke Terengganu.
Grup RX-Z dari Berong Crew (Sarawak) dan Rojak Racing (Sabah) berkongsi kontena menghantar RX-Z mereka ke Pelabuhan Klang menggunakan kapal.
Pada video pendek berkenaan menunjukkan pemilik menanggalkan plastik hitam yang membungkus badan RX-Z di pelabuhan sebelum dibawa menaiki Toyota Hilux menuju ke Terengganu.
Menerusi ruangan komen, difahamkan pemilik membuat perancangan sejak bulan April lalu dan geng motor berkenaan sering menghadiri acara permotoran di Sabah dan Sarawak.
“Diaorang dah rancang dari bulan empat lagi rasanya, semua event kat Sabah Sarawak dia orang pergi .
“Ada menang ada kalah tu biasalah..untuk mencari pengalaman sebelum hadir bertanding di RXZ Member 6.0, memang mereka datang dengan harapan bawa balik Piala ke Borneo nanti.. motor mereka semua padu, cantik dan ada kelainan dengan motor semenanjung,” komen Zul Abe Him.
Difahamkan, kos bagi menghantar sebuah motosikal menggunakan kontena dianggarkan lebih daripada RM1,000.
VIDEO DI SINI