Hidup mewah hasil aktiviti counter setting, SPRM sita 22 kereta dan 13 motosikal

1180

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar ‘kemewahan’ dua pegawai rendah Jabatan Imigresen (JIM) Gred KP22 dan KP19 selepas menemui hampir RM800,000 wang tunai di kediaman suspek yang disyaki hasil aktiviti counter setting.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata serbuan yang dilakukan di Pahang dan Melaka itu adalah siasatan susulan berhubung penglibatan pegawai penguatkuasa dalam sindiket membawa warga asing ke negara ini melalui saluran tidak sah.



Daripada jumlah itu katanya, RM518,250 wang tunai ditemui di bilik tidur pegawai kanan wanita JIM Gred KP22 yang di­simpan di dalam bagasi di bilik tidur rumahnya di Pahang.

Selain itu, sejumlah RM248,443 lagi wang tunai turut ditemui di­sorok di bawah katil bilik utama pegawai imigresen lelaki Gred KP19 yang berada di Melaka.

Untuk rekod, gaji pegawai imigresen Gred KP22 adalah sekitar RM2,200 hingga RM4,700 sebulan, manakala pegawai Gred KP 19 adalah sekitar RM1,300 hingga RM4,000.

JUMLAH SITA SINDIKET COUNTER SETTING BERNILAI RM1.49 JUTA

“Jumlah wang tunai yang ditemui di kediaman kedua-dua pegawai berkenaan merupakan sebahagian daripada RM1.49 juta wang tunai yang disita ­terhadap penguatkuasa yang terlibat sindiket counter setting,” katanya

Beliau menambah, SPRM turut menyita sebanyak USD9,900 (RM41,990) serta THB5,470 (RM696).

“Selain wang tunai, kita juga menyita 22 unit kenderaan ­pelbagai jenis iaitu sembilan kereta dan 13 motosikal.

“Sebanyak 27 keping dinar emas seberat 575.75 gram ­dengan anggaran nilai melebihi RM200,000 turut disita daripada pegawai imigresen kanan Gred KP22 di Negeri Sembilan,” kata­nya lagi.

Azam memberitahu, SPRM te­lah menyita lebih 75 utas barang kemas seperti cincin, gelang, rantai, loket dan subang selain 12 jam tangan pelbagai jenama.

“SPRM membekukan seba­nyak 215 akaun bank milik 16 syarikat dan 84 individu dengan nilai pembekuan melebihi RM3.6 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Azam ­berkata, seorang pegawai kanan JIM yang juga dalang utama kepada sindiket counter setting terbabit dijang­ka dituduh di mahkamah pada awal Oktober depan selepas SPRM melengkapkan laporan siasatan.

Katanya, lelaki berusia awal 40-an yang disifatkan sebagai individu berpengaruh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu diberkas SPRM pada 5 September lalu selepas dipercayai melarikan diri sebaik operasi bermula.

“Dia salah seorang yang kita tangkap (dalang utama), dia mengawal lebih kurang 50 ­pegawai sebab dia yang berpengaruh, dia focal person untuk menjadi perantara.

“Ia supaya pegawai imigresen terlibat melaksanakan apa yang diarahkan oleh beliau,” katanya.

Sebelum ini akhbar tempatan melapor­kan, seramai 12 individu terma­suk lima penguatkuasa sebuah agensi pengutkuasaan ditahan SPRM pada 20 Ogos lalu selepas terlibat dalam sindiket penyeludupan dengan melepaskan warga asing di pintu ­masuk negara tanpa perlu melalui pemeriksaan sejak 2022.

Antara warga asing yang ­sering dibawa masuk menerusi modus operandi counter setting di lapangan terbang itu adalah dari ­Myanmar, Bangladesh, ­Indonesia, India, Pakistan dan Nepal.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here