Denza kini 100 peratus milik BYD, Mercedes-Benz undur diri

9

Jenama EV premium Denza kini 100 peratus dimiliki oleh BYD setelah rakan kongsinya Mercedes-Benz mengundurkan diri.

Jenama automotif Jerman itu bekerjasama dengan BYD untuk melancarkan jenama Denza pada tahun 2011 sebagai sebuah syarikat perkongsian 50:50.

Malah, dalam tempoh beberapa tahun terawal, syarikat itu telah menghasilkan beberapa model kenderaan elektrik termasuklah Denza 300, Denza 400 dan Denza 500.



Namun, dengan angka jualan sekitar 23,000 untuk tempoh dekad pertama, pencapaian tersebut tidak cukup untuk membuatkan kerjasama itu bernilai bagi Mercedes.

Pada tahun 2022, Mercedes mengurangkan pegangan dalam Denza kepada 10 peratus, di mana 40 peratus pegangan yang dilepaskan itu dibeli oleh BYD.

Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini Denza telah menjadi semakin maju dengan kehadiran teknologi dan model yang inovatif, sekaligus menyumbang kepada peningkatan jualan melebihi 200,000 unit.

Itu pun tidak cukup meyakinkan bagi Mercedes untuk terus kekal bertahan dengan jenama Denza.

Pelanggan mungkin tidak akan perasan perubahan ketara selepas jenama itu dimiliki oleh BYD sepenuhnya, memandangkan tiada model semasa Denza yang menampilkan teknologi daripada Mercedes-Benz.

Denza juga mempunyai perancangan untuk mengembangkan jualan di pasaran Eropah, selain mengesahkan kemasukan jenama itu ke pasaran Malaysia menjelang suku pertama 2025.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here