Jaecoo Malaysia previu Omoda C9, bakal lancar Disember ini

1

Jaecoo Malaysia memperkenalkan Omoda C9 ke pasaran tempatan yang mana SUV itu bakal dilancarkan secara rasmi Disember ini.

Berada dalam SUV segmen-D, ia menggunakan enjin 2.0 TGDI 4-silinder yang menghasilkan kuasa 245hp dan tork 400Nm bersama kotak gear 8-kelajuan. 



Pasaran tempatan bakal menerima dua pilihan pacuan dengan anggaran harga :

  • 2WD : RM185,000
  • AWD : RM195,000

Versi pacuan dua roda (2WD) didatangkan dengan tiga mod pemanduan manakala pacuan semua roda (AWD) menawarkan tujuh mod pemanduan. 

Omoda C9 memiliki dimensi tinggi (1,671mm), lebar (1,920mm) dan panjang (4,775mm) serta jarak roda 2,800mm. Jarak kelegaan tanah 165mm membolehkan SUV itu meredah air pada kedalaman maksimum 600mm.

Ciri peralatan lain yang ditawarkan pada Omoda C9 adalah rim aloi R20 bersama tayar Michelin 245/50, saiz but 660 liter dan boleh ditingkatkan sehingga 1,783 liter serta   sistem suspensi adaptif serba lengkap yang disokong topang McPherson (depan) dan multi link (belakang).

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan perakam video digital (DVR) menggunakan monitor pemandangan keliling 540 darjah, pelarasan elektrik dengan lapan tahap bagi tempat duduk pemandu dan fungsi memori, sistem pengudaraan bagi kerusi depan serta 14 pembesar suara keliling (AWD) dan lapan pembesar suara (2WD).

LUARAN & KABIN

Penampilan luaran diserlahkan dengan gril udara matrik berlian bersama lampu nyala siang rekaan sigma.

Di samping kawalan adaptif pintar dan lampu depan LED, SUV ini dilengkapi dengan cermin depan akustik yang mengurangkan tahap kebisingan dalam kabin untuk memberikan pengalaman memandu yang lebih selesa.

Omoda C9 juga didatangkan dengan ciri masuk tanpa kunci bersama teknologi Near Field Communication (NFC), sistem kunci ‘walkaway’ dan hendal pintu ‘flush’.

Kabin Omoda C9 pula didatangkan dengan lampu ambien ritmatik dan skrin resolusi tinggi bersaiz 24.6-inci serta pengecas tanpa wayar (50watt) dan sistem kualiti udara.

Bahagian konsol dan papan pemuka menerima kemasan kulit lembut premium untuk memberikan rasa mewah.

Ciri peralatan lain yang ditawarkan termasuklah pedal shifter, paparan head up, Sistem Pemantauan Pemandu (DMS) serta navigasi.

CIRI KESELAMATAN

Demi ketenangan minda pemilik, SUV asal China itu didatangkan dengan alat Kawalan Peredam Berterusan (CDC).

Ciri ini meningkatkan keselesaan dan memberi sentuhan kemewahan dengan menyesuaikan kenderaan mengikut keadaan jalan raya dalam masa sebenar melalui pelarasan sensor berasingan dalam masa milisaat.

C9 turut disokong Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS) 2.5 dengan Pengesanan Titik Buta (BSD), Amaran Buka Pintu (DOW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Pencegahan Keluar Lorong (LDP), Bantuan Pertukaran Lorong (LCA) dan Bantuan Kekal Lorong Kecemasan (ELKA). 

Ia juga dilengkapi dengan tujuh beg udara dan diperbuat daripada 85 peratus keluli kekuatan tinggi.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here