Volvo EX 30 rasmi lancar, harga mula RM188,88

13

Volvo Malaysia rasmi memperkenalkan kereta elektrik (EV) ketiganya, Volvo EX30 selepas memperkenalkan C40 dan XC40 (elektrik) ke pasaran tempatan.

Kumpulan pertama didatangkan dalam versi CBU menerusi tiga pilihan varian iaitu :  

  • Plus : RM188,888 
  • Ultra : RM208,888
  • Ultra Twin Performance : RM228,888

PRESTASI 



Kesemua varian EX30 didatangkan standard dengan bateri jarak jauh Nickel Manganese Cobalt (NMC) 69kWh menerusi tawaran dua motor :

  • Single Motor Extended Range : Output 272PS | 343Nm ; 0-100kmj : 5.3 saat ; jarak perbatuan 476km
  • Twin Performance : Output 428PS | 543Nm ; 0-100kmj : 3.6 saat ; jarak perbatuan 450km

PENGECASAN 

Volvo menawarkan pengecasan DC sehingga 175kW yang membolehkan isian bateri daripada 10 hingga 80 peratus dalam tempoh 28 minit.  

PERALATAN LUARAN & KABIN

Selaras dengan identiti Volvo yang minimalis, penampilan EX30 yang moden diserlahkan dengan padanan lampu depan rekaan tukul ‘Thor’.

Walaupun saiz badan yang kecil ia masih menawarkan ruang dalaman yang selesa terutamanya buat penumpang bersaiz badan kecil atau sederhana. 

SUV kompak itu juga begitu praktikal digunakan di kawasan bandar terutamanya apabila melalui lorong sempit dan ruang parkir terhad. 

Ia didatangkan dengan ciri peralatan standard seperti lampu depan LED, rim aloi rekaan potongan berlian bersaiz 19-inci, Pilot Assist, sistem audio premium Harman Kardon (unit bar tunggal di papan pemuka), pintu but berkuasa elektrik, cermin pandang belakang dan cermin sisi anti-silau serta lampu ambien kabin dengan lima pilihan tema.

Manakala varian Ultra pula mendapat tambahan ciri seperti Park Pilot Assist, kamera 360 darjah, tempat duduk depan dengan pelarasan elektrik dan bumbung panorama.

Bahagian kabin EX30 hadir dengan kemasan Indigo yang sporty menampilkan tekstil denim yang dikitar semula, upholsteri yang diperbuat daripada 100 peratus poliester kitar semula, dan Nordicodengan kandungan PET yang dikitar semula.

Manakala bahan plastik diperbuat daripada 30 peratus bahan kitar semula. Di samping itu, EX30 menawarkan pelbagai ruang simpanan yang ideal buat pemilik wanita antaranya :

  • Slot pengecasan telefon tanpa wayar binaan dalam yang boleh menyimpan sehingga dua telefon, dan storan pusat fleksibel yang boleh memuatkan beg tangan.
  • Pemegang cawan gelongsor dan storan yang boleh disimpan sepenuhnya di bawah pelapik tangan tengah.
  • Poket pintu besar menggantikan pembesar suara pintu tradisional.
  • Kotak storan belakang yang boleh ditanggalkan di bawah pelapik tangan tengah yang boleh dijadikan tong sampah.
  • Ruang but belakang bersaiz 318 liter dan boleh ditingkatkan sehingga 718 liter.
  • 61 liter ruang storan tersembunyi di bawah lantai but.

Volvo EX30 adalah satu-satunya SUV sub-kompak dengan binaan dalam Google yang kini
dipertingkatkan dengan ketersambungan Apple AirPlay tanpa wayar.

Ia juga dilengkapi dengan aplikasi khusus yang boleh digunakan untuk mengunci dan membuka kereta, menetapkan tahap pengecasan elektrik, dan mengurus tetapan dari jauh.

KESELAMATAN

Volvo terkenal dengan ciri keselamatan mereka, dan EX30 tidak terkecuali. SUV itu dilengkapi dengan Safe Space Technology Volvo dan sistem bantuan pemandu menggunakan radar, sensor ultrasonik dan kamera yang terletak di sekeliling.

Malah, EX30 menambah lebih banyak ciri keselamatan termasuk:

  • Amaran pembukaan pintu inovatif yang mengesan kenderaan dua roda atau pengguna jalan raya lain dari belakang dan memberi amaran kepada penumpang dengan isyarat visual dan audio apabila cuba membuka pintu.
  • Pilot Assist yang dinaik taraf yang turut melaraskan jarak optimum dari kenderaan berat di lebuh raya.
  • Pembrekan automatik untuk trafik lintasan hadapan, pembelokan di persimpangan, dan pengunduran pada kelajuan rendah.
  • Pemanduan pencegah pelanggaran automatik untuk pengguna jalan raya seperti penunggang motorsikal dan basikal yang berada di sebelah ketika di lorong sehala.
  • Volvo EX30 juga yang pertama menyertakan generasi baharu ciri Park Pilot Assist yang boleh menangani ruang parkir selari, melengkung, tegak, dan serong.

Seperti setiap model elektrik penuh Volvo, EX30 datang dengan lima tahun Pelan Servis Volvo (VSP), perkhidmatan digital, bantuan tepi jalan 24 jam, serta jaminan kenderaan tanpa had jarak perjalanan.

Untuk ketenangan minda pengguna, bateri voltan tinggi dijamin selama lapan tahun.

Bagi 100 pembeli pertama boleh menikmati pembiayaan eksklusif dengan rakan kongsi Perkhidmatan Kewangan Volvo Car menerusi pembiayaan kadar tetap daripada RM1,588 sebulan dengan pembiayaan bertingkat, atau nikmati Kadar Pembiayaan Boleh Ubah pengenalan serendah 1.88 peratus.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here