Tiga lelaki didakwa cuba peras ugut keluarga Michael Schumacher

14

Pendakwa raya Jerman mendakwa tiga lelaki pada Rabu atas tuduhan memeras ugut keluarga bekas pelumba Formula 1 terkenal, Michael Schumacher, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Schumacher, juara dunia Formula 1 yang memecahkan rekod, mengalami kecederaan serius dalam kemalangan ski pada akhir 2013 dan tidak muncul di khalayak ramai sejak itu. Keluarganya kekal merahsiakan keadaannya.

Seorang bekas pekerja keselamatan keluarga Schumacher didakwa menyediakan rakaman peribadi untuk pemerasan, manakala seorang lelaki lain dan anaknya dituduh menjalankan cubaan pemerasan itu, menurut pejabat pendakwa raya di bandar Wuppertal, Jerman barat.



Menurut pendakwa raya, suspek didakwa membuat beberapa panggilan kepada keluarga Schumacher menuntut €15 juta (US$17 juta). Mereka didakwa mengancam untuk menerbitkan data peribadi sensitif di Internet jika wang itu tidak dibayar.

Bahan yang digunakan untuk jenayah itu didakwa diperoleh oleh seorang lelaki yang pernah bekerja sebagai penyedia perkhidmatan keselamatan bagi keluarga Schumacher dan juga bertanggungjawab untuk mendigitalkan foto-foto peribadi.

Pihak berkuasa merampas sejumlah besar barang bukti seperti cakera keras, pemacu USB dan telefon bimbit semasa penangkapan lelaki berkenaan.

Polis Jerman melancarkan siasatan mereka selepas menerima maklumat daripada penguat kuasa undang-undang Switzerland. Menurut penyiasat, “langkah teknikal” akhirnya menunjukkan bahawa pemeras ugut yang disyaki beroperasi dari Wuppertal.

Ini bukan kali pertama keluarga Schumacher menjadi sasaran percubaan pemerasan. Pada 2017, seorang lelaki berusia 25 tahun dihukum oleh mahkamah di selatan Jerman kerana cuba memeras ugut isteri Schumacher, Corinna Schumacher, sebanyak €900,000.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here