Polis tahan lelaki bersama Proton Wira dilaporkan hilang di Alor Setar

105

Sebuah Proton Wira yang dilaporkan hilang di Alor Setar, semalam berjaya ditemui semula selepas polis mengesan kereta tersebut dan menahan seorang daripada dua suspek.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian berlaku ketika anggota yang melakukan tugas rondaan Unit Kereta Peronda (MPV) di Petron Sungai Layar, Sungai Petani pada jam 1.30 petang semalam dan ternampak Proton Wira itu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, anggota polis meminta pemandu kereta itu berhenti namun ia terus memecut laju dan melarikan diri.



“Anggota kami kemudian membuka lampu beacon dan siren serta memberi amaran sebanyak tiga kali dan meminta pemandunya berhenti tetapi kereta itu terus memecut dan melarikan diri,” katanya.

Berikutan itu, anggota polis menghubungi bilik gerakan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda untuk meminta bantuan.

Katanya, dalam masa sama, anggota berkenaan terus mengejar Proton Wira itu namun sebaik tiba di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Jan Al-Jaffri, kereta itu dipercayai terbabas dan melanggar tiang elektrik.

“Ketika itu, dua lelaki terbabit dilihat keluar dari kereta itu dan melarikan diri.

“Bagaimanapun, seorang daripada suspek berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan pada tubuhnya tidak menemui apa-apa barang larangan,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, hasil pemeriksaan lanjut, kereta itu dilaporkan hilang dan bersangkut laporan polis di Alor Setar, semalam. 

Berikutan itu suspek berusia 44 tahun dan berasal dari Alor Setar berjaya ditahan dan kereta itu dirampas untuk siasatan lanjut sebelum dibawa pulang ke IPD Kuala Muda.

“Semakan rekod lampau terhadap suspek mendapati, dia memiliki lapan rekod jenayah lampau iaitu tiga kes dadah dan lima kes jenayah.

“Usaha mengesan seorang lagi suspek yang berjaya melarikan diri masih diteruskan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here