[Video] Pelajar IPT cedera elak SUV tukar lorong

100

Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) mengalami kecederaan selepas cuba mengelak sebuah SUV yang menukar lorong dalam kejadian di KM240.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran susur keluar tol Bidor pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, pihaknya terkesan dengan rakaman kejadian kemalangan tersebut yang tular menerusi media sosial melibatkan sebuah motosikal dan dua SUV.



Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berlaku sekitar jam 11.09 pagi pada 5 Oktober dan pihak polis telah mengenalpasti ketiga-tiga kenderaan yang terlibat.

“Mangsa penunggang motosikal seorang lelaki berusia 18 tahun yang merupakan pelajar IPT telah mengalami kecederaan di bahu kiri dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan ketika kejadian.

“Salah seorang pemandu kenderaan SUV yang terlibat dalam kemalangan ini telah tampil untuk membantu siasatan.

“Pihak polis dalam usaha untuk memanggil seorang lagi pemandu kenderaan SUV untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Naim berkata, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Peraturan 6(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

Sehubungan itu katanya, saksi kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd Faizin Ahmad di talian 05-4011222 atau 013-2087919.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here