Chery Auto Malaysia menawarkan promosi diskaun RM8,000 atau tawaran servis percuma 100 peratus selama tujuh tahun apabila membeli Omoda 5 (H). Servis percuma itu turut melibatkan caj alat ganti dan buruh.
Pesaing Proton X50 itu dijana oleh enjin 1.5 liter turbo 4-silinder yang menghasilkan kuasa 156hp dan tork 230Nm. Penghantaran kuasa ke roda depan disalurkan menerusi transmisi CVT 9-kelajuan.
Promosi tersebut hanya ditawarkan pada varian H yang berharga RM118,800. Namun, di bawah Omoda 5 ada satu lagi pilihan menarik yang boleh anda pertimbangkan iaitu varian C pada harga RM99,800.
Varian tertinggi menerima tambahan ciri peralatan seperti pelarasan elektrik 6-cara pada kerusi pemandu, fungsi ventilasi pada kerusi depan, rim dua rona warna bersama jalur merah, bumbung suria, kamera panorama 360 darjah dan lain-lain.
SERVIS PERCUMA TIGGO 7 PRO
Di samping Omoda 5, Chery Malaysia turut menawarkan promosi servis percuma dua tahun (termasuk caj buruh dan alat ganti) bagi Tiggo 7 Pro.
Tawaran itu dikongsi menerusi Facebook rasmi jenama berkenaan dengan kapsyen “Pandu pulang Tiggo 7 Pro baharu pada harga RM123,800 dan nikmati servis percuma selama dua tahun!”.
SUV lima tempat duduk itu dilancarkan pada Jun lalu menerusi rekaan SUV konvensional dengan lebih tegak bersama gril heksagon kemasan ala berlian.
Ia menggunakan enjin 1.6 liter TGDi 4-silinder yang menghasilkan kuasa 194hp dan tork 290Nm dengan transmisi automatik dua klac 7-kelajuan bersama pacuan roda depan (FWD).
Justeru itu, buat pelanggan yang berpotensi ini adalah masa terbaik untuk membawa pulang kenderaan Chery sebelum tawaran promosi berakhir.